Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri kelapan
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muyhyiddin Yassin selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebentar tadi.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada jam 10.33 pagi.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai Perdana Menteri Interim setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lepas.
Terdahulu, beberapa kenderaan rasmi golongan kenamaan (VIP) mula memasuki Pintu 2 Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri kelapan.
9.50 pagi: Kenderaan yang membawa masuk Muhyiddin dilihat memasuki di Pintu 1 Istana Negara. Serentak itu, rombongan kenderaan dipercayai ahli keluarga Muhyiddin dan beberapa ahli Parlimen turut memasuki Pintu 2 Istana Negara.
9.40 pagi: Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim disusuli kenderaan rasmi Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat memasuki Istana Negara.
Antara ahli Parlimen yang kelihatan adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.9.30 pagi: Sementara itu di Yayasan Al-Bukhary, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan satu sidang media sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di Istana Negara pagi ini.
Beliau antara lain mendakwa, Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti. Menurut Dr Mahathir, pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri menjadikan pihak yang kalah dalam pilihan raya umum yang lalu dapat membentuk kerajaan manakala yang menang tidak menjadi kerajaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong enggan jumpa saya lagi - Tun Mahathir
Agong pilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri
Muhyiddin mohon semua pihak hormati keputusan Agong
Dipecat, bangun semula dan kini PM ke-8
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!