Daftar SKSPS di Karnival Wow! Perkeso

Amir (dua dari kanan) dan Dr Mohammed Azman (dua dari kiri) merasmikan Karnival Wow! Perkeso di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Amir (dua dari kanan) dan Dr Mohammed Azman (dua dari kiri) merasmikan Karnival Wow! Perkeso di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengajak kelompok orang bekerja sendiri (OBS) dalam 20 sektor tidak formal mendaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pada Karnival Wow! Perkeso yang berlangsung selama dua hari sehingga hari ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, karnival itu adalah inisiatif Perkeso mempromosikan jaringan keselamatan sosial kepada dunia pekerjaan sejajar dengan akronim W.O.W iaitu World of Work.

Menurutnya, statistik sehingga 28 Februari lalu menunjukkan pendaftaran SKSPS masih rendah apabila hanya seramai 48,998 OBS daripada 2.8 juta orang yang layak menerima manfaat itu mendaftar untuk perlindungan Perkeso.

“Masih banyak perlu dilakukan bagi memastikan semua OBS yang layak untuk mendaftar dan mencarum. Perkeso memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk meningkatkan kesedaran kepentingan perlindungan SKSPS.

“Perkeso meletakkan sasaran sebanyak 700,000 pendaftaran di bawah SKSPS khususnya bagi mereka dalam kumpulan penghantar makanan dan pemandu e-hailing tahun ini,” katanya pada perasmian Karnival Wow! Perkeso yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar di Wisma Perkeso Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, A Maniam dan Timbalan Ketua Eksekutif (Korporat) Perkeso, Datin Azlaily Abdul Rahman.

Perasmian Bas HSP dan karavan sempena Karnival Wow! Perkeso di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur berlangsung semalam sehingga hari ini. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Perasmian Bas HSP dan karavan sempena Karnival Wow! Perkeso di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur berlangsung semalam sehingga hari ini. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Sementara itu, Amir berkata, kesedaran dalam kalangan OBS daripada 19 sektor informal dilihat semakin menunjukkan peningkatan, manakala bilangan pemandu teksi, perkhidmatan e-hailing dan pemandu bas menunjukkan penurunan.

Artikel Berkaitan:

“Jika tahun lalu bilangannya pernah mencecah seramai 55,000 pemandu, namun angka pada 26 Februari lalu menunjukkan hanya 41,972 individu daripada sektor pengangkutan penumpang mencarum di bawah SKSPS.

“Angka yang rendah ini menunjukkan masih ramai yang tidak mengendahkan saranan dan langkah yang disediakan Perkeso serta kerajaan bagi memelihara kepentingan dan hak kumpulan tersebut,” katanya.

Mini Karnival Pekerjaan turut diadakan sempena Karnival Wow! Perkeso yang menyaksikan penglibatan seramai 20 majikan dengan lebih 4,000 peluang pekerjaan disediakan melibatkan industri pembuatan, pembinaan, teknologi maklumat, kewangan dan hartanah serta lain-lain.

Bas HSP yang membolehkan pekerja membuat saringan kesihatan tanpa perlu ke klinik atau hospital. Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Bas HSP yang membolehkan pekerja membuat saringan kesihatan tanpa perlu ke klinik atau hospital. Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

Perkeso turut melantik Duta Portal Public Employment Services (PES) Perkeso yang dianggotai graduan daripada 21 universiti tempatan sebagai usaha membantu mewujudkan pusat sehenti mencari pekerjaan sebagai mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Turut dilancarkan, Bas HSP yang digunakan sebagai program saringan kesihatan yang akan bergerak ke premis pekerjaan dan karavan untuk kaunter bergerak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!