Empat kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan empat lagi kes positif jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara ini menjadikan jumlah keseluruhan 29 kes setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes ke-26 membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China sekitar pertengahan Januari lalu.
"Lelaki itu mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 27 Februari lalu dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta pada hari sama.
“Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan dan disahkan positif semalam serta dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, manakala siasatan punca jangkitan dan pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, kes ke-27 pula salah seorang jururawat pelatih wanita berusia 20 tahun dan dia menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24.
“Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah, dia dikenal pasti sebagai salah seorang dari kontak rapat kes berkenaan.
“Pada 21 dan 22 Februari lalu, dia mengendalikan kes terbabit tanpa memakai sebarang peralatan perlindungan diri (PPE).
"Pada 27 Februari dia mengalami gejala batuk dan disahkan positif Covid-19 semalam. Dia dimasukkan ke wad isolasi Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.
Katanya, seorang lelaki berusia 45 pula adalah kes ke-28 dan dia juga rakan sekerja kepada kes ke-25.
“Beliau bersama-sama dengan kes ke-25 dan seorang lagi rakan sekerja mempunyai sejarah perjalanan ke Milan, Itali dari 15 hingga 21 Februari.
"Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan, dia dikesan dan didapati mempunyai gejala sejak 26 Februari dan ujian Covid-19 disahkan positif pada 29 Februari lalu.
“Dia dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya,” katanya.
Dr Nor Hisham berkata, kes ke-29 melibatkan wanita berusia 35 tahun yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 21 Februari.
“Dia ditempatkan di bilik berdua dengan kes ke-24 yang pada ketika itu belum diketahui dijangkiti Covid-19.
"Pada 25 Februari, dia dibenarkan pulang ke rumah dan pada 27 Februari, dia mula rasa tidak sihat, namun tidak mendapatkan rawatan.
“Dia dikenal pasti sebagai kontak rapat kes ke-24 dan disahkan positif Covid-19 semalam dan kini di wad isolasi Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Menurutnya, kesemua tiga kes berkenaan menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 dalam negara adalah 29 orang dengan 22 kes sembuh dan dibenarkan keluar wad, manakala tujuh lagi masih menerima rawatan.
Dalam pada itu, satu mesyuarat pengurusan kes disyaki dan pesakit Covid-19 di hospital dan klinik swasta diadakan di peringkat kebangsaan hari ini.
Mesyuarat itu mempertingkatkan lagi kefahaman pengamal perubatan swasta kepada situasi Covid-19 terkini serta memastikan pihak pengamal swasta bersedia dengan kesiapsiagaan dan respon dalam menghadapi situasi Covid-19 yang di luar jangkaan.
Orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai Covid-19 boleh menghubungi Infoline Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) di talian 03-8881 0200 / 03-8881 0600 / 03-8881 0700 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Kakitangan Khazanah positif COVID-19
Covid-19: Bekas menteri, timbalan kontak rapat Hisham
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!