Musim buru udang harimau
MARANG - Nelayan di negeri ini masih tetap ke laut untuk mencari rezeki walaupun musim tengkujuh menyebabkan cuaca tidak menentu serta keadaan laut bergelora.
Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohamed berkata, musim tengkujuh bukanlah ancaman bagi nelayan untuk keluar mencari rezeki, malah digemari berikutan rezeki udang harimau bermula bulan ini dan dijangka lebih banyak menjelang Tahun Baharu Cina.
“Sudah menjadi lumrah jika laut bergelora ikan kurang namun pendapatan setengah nelayan tidak terjejas kerana ketika musim tengkujuh begini, nelayan ke laut menangkap udang.
“Kita mengakui hasil ikan memang berkurangan bagi nelayan namun hasil udang akan meningkat kerana musim tengkujuh udang banyak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.
Perairan Marang juga dikatakan terkenal dengan udang harimau segar kerana spesies udang berkenaan gemar bermain di kawasan pantai di daerah ini yang kini menjadi buruan nelayan.
Bagaimanapun, menurutnya, tangkapan udang pada tahun ini agak berkurangan berbanding dalam tempoh sama tahun lalu berikutan kesan ribut tropika Pabuk melanda perairan negara.
"Tapi keadaan ini dijangka akan berubah dalam tempoh terdekat ini sekali gus dapat beri pendapatan baik kepada nelayan yang terlibat dalam menangkap udang kerana jualan boleh mencecah RM120 sekilogram,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!