Tiga hari padam kebakaran tapak lupus sampah
BATU GAJAH - Akibat tindakan tidak bertanggungjawab, anggota bomba terpaksa 'berperang' selama tiga hari bagi memadam kebakaran tapak pelupusan sampah di Batu 3, Jalan Tanjung Tualang di sini.
Kebakaran itu dipercayai bermula kira-kira jam 12.35 tengah hari Jumaat lalu membabitkan keluasan 1.6 hektar.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, seramai 46 anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bertungkus-lumus mengawal dan memadam kebakaran berkenaan.
"Operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Simpang Pulai, Pasir Puteh selain PBS Tanjung Tualang, Langkap, Teluk Intan, Pekan Baru, dan Menglembu.
"Kita turut menggunakan dua lori tangki berkapasiti 20,000 liter untuk memadam kebakaran keseluruhan seluas 2.28 hektar itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, pihaknya menggunakan teknik 'fire break' bagi mengawal kebakaran itu daripada merebak selain kaedah 'banjir' dengan menggunakan lebih 100,000 liter air.
"Selain cuaca panas, jumlah sampah yang banyak menyebabkan kebakaran pantas merebak. Bagaimanapun, api berjaya padam sepenuhnya hari ini.
"Anggota masih lagi berada di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa. Punca kejadian dipercayai akibat perbuatan individu yang disengajakan. Kita serahkan perkara itu kepada pihak berkuasa,” kata beliau.
Mohd Khairul berkata, lokasi itu kemudiannya diserahkan semula kepada Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) bagi proses penambakan dengan tanah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!