'DAP tidak akan menyerah kalah'

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - DAP Pulau Pinang menyeru semua ahlinya untuk kekal bertenang dan patuh kepada arahan parti susulan Pakatan Harapan (PH) kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, DAP tidak akan menyerah kalah sebaliknya kepimpinan tertinggi dan ahli-ahli Parlimen PH akan menggunakan saluran undang-undang, Parlimen serta Perlembagaan untuk menolak pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang baharu.

"Seminggu yang lalu ini penuh dengan huru-hara. Meskipun usaha yang besar telah dilakukan untuk mengekalkan mandat rakyat, akhirnya kita telah kehilangan kerajaan Persekutuan angkara pembelot yang sedia bekerjasama untuk mengembalikan kleptokrat.

"Kita menyeru semua ahli untuk kekal bertenang dan patuh kepada arahan parti. Buat masa ini, teruskan dengan segala tugasan anda yang rasmi mahupun peribadi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat akan membuat lawatan ke setiap negeri untuk sesi dialog bagi mendengar pandangan ahli.

"Kita akan membuktikan kebertanggungjawaban kita sebagai parti yang komited untuk meneruskan perjuangan politik demi kesejahteraan Malaysia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN PH hantar surat esok desak Speaker adakan Sidang Dewan khas

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!