Jangan campur tangan kes mahkamah libatkan ahli politik
SHAH ALAM - Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia berharap kerajaan baharu tidak mencampuri urusan badan kehakiman terutama melibatkan kes-kes ahli politik.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, badan kehakiman perlu dibebaskan daripada sebarang kongkongan supaya keputusan yang adil dapat diberikan.
"PPMM berharap ketelusan dan keadilan dimartabatkan, pihak kerajaan tidak mencampuri urusan badan lain seperti kehakiman.
"Bebaskan sektor kehakiman daripada sebarang kongkongan dan kes-kes di mahkamah yang melibatkan ahli politik terus dibicarakan tanpa campur tangan sehingga keputusan yang adil diberikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah proses demokrasi biasa yang diamalkan di Malaysia dan tiada perkara yang bercanggah dengan perundangan negara.
Menurutnya, situasi yang melanda negara sejak beberapa hari lalu secara tidak langsung mengajar rakyat berhubung kepentingan institusi raja di Malaysia dalam konteks Raja Berperlembagaan.
"Bagi mereka yang masih tidak dapat menerima kenyataan pemilihan Yang di-Pertuan Agong ini, PPMM menasihatkan ikutlah lunas-lunas perundangan yang ada di dalam sesuatu tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!