Guru rugi RM26,900 ditipu beli iPhone
KUALA TERENGGANU - Seorang guru terpaksa berputih mata apabila bukan hanya gagal mendapatkan telefon pintar idaman jenis iPhone, malah turut mengalami kerugian apabila ditipu sebanyak RM26,900.
Kejadian bermula selepas wanita berumur 43 tahun dari Tepoh itu berminat dengan iklan jualan telefon di laman Instagram pada Jun tahun lalu dan menyatakan persetujuan untuk membeli tiga unit telefon pintar jenis iPhone.
Menurut sumber, bagaimanapun ketiga-tiga item yang telah dibayarnya tidak diterima sehingga kini, sebaliknya sehingga kelmarin dia terus diminta suspek untuk membuat pembayaran melibatkan pembelian tersebut.
"Selepas menyatakan persetujuan, mangsa terus memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan oleh wakil kedai berkenaan, pada 20 Julai tahun lalu dan mangsa memasukkan lagi wang pada keesokan harinya ke dalam akaun sama, kononnya sebagai bayaran dana sementara, yang dijanjikan akan dipulangkan semula.
"Suspek berjanji akan membuat penghantaran barang dibeli dalam kadar segera, bagaimanapun kelmarin, mangsa sekali lagi diminta memasukkan RM2,000 dengan alasan baki kos dikenakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Sumber berkata, tanpa sebarang syak, mangsa hanya mengikut arahan dengan memasukkan wang diminta meskipun mengetahui jumlah bayaran sudah melebihi harga dirunding sebelum ini.
Katanya, mangsa kemudian menyedari ditipu selepas barang dijanjikan masih tidak diterima meskipun sudah membuat bayaran yang banyak selain wang lebihan yang dijanjikan akan dipulangkan semula masih tidak ditunaikan sehingga hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan tersebut kelmarin.
"Keterangan mangsa sudah diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!