Bagaimana acuan begitulah kuihnya

A
A
A

BUKAN mudah menjadi seorang pemimpin atau pengurus dalam erti kata yang sebenarnya. Kebertanggungjawaban dan amanah yang dipikul semestinya memaksa pemimpin menyerahkan dirinya kepada organisasi.

Hal ini menjadi semakin mencabar kerana setiap pemimpin dipertanggungjawabkan pada masa hadapan akan kepimpinannya.

Pemimpin yang berkesan adalah pemimpin yang berkarisma dan menjadi idola pengikutnya.

Inilah yang dikatakan pemimpin sebagai suri teladan (role model) yang secara tidak langsung mencorakkan peribadi dan kelakuan pengikutnya.

Kebiasaannya pemimpin dijadikan suri teladan apabila pengikut dapat menerima dan selesa dengan kehadirannya.

Mereka sedaya upaya akur akan arahan yang diberikan oleh pemimpin termasuklah melaksanakan tugas selari dengan objektif dan matlamat yang telah ditetapkan.

Jika pemimpin dijadikan contoh ikutan, maka adalah mudah bagi mereka memimpin organisasinya.

Justeru, pemimpin perlu menunjukkan peribadi dan tingkah laku yang baik selain mempunyai wawasan yang jelas, nilai diri cemerlang dan daya tahan fizikal dan mental yang jitu.

Artikel Berkaitan:

Kekuatan itu akan menjadikan pemimpin seorang yang disegani dan dihormati dalam apa jua keadaan.

Bagaimana pula jika pemimpin gagal menunjukkan contoh yang baik kepada pengikutnya? Antara contoh tidak baik adalah seperti berkomunikasi secara cakap lepas dan menyebabkan pengikut jauh hati.

Dalam keadaan sebegini, pengikut berasa marah, stres dan rasa itu makan dalam.

Sebagai kesan akhir, kegagalan berkomunikasi membawa pelbagai masalah, seperti kata bidalan kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana.

Jadi, adalah tidak molek bagi pemimpin masa kini berkomunikasi secara satu arah dan cakap lepas kerana ia bakal mencetuskan konflik dalam perhubungan antara dua pihak dan menjadi kecaman orang kebanyakan.

Terdapat juga pemimpin yang mengutamakan status dan kedudukan tinggi mereka dalam organisasi.

Mereka tidak pandai dan kekok bergaul dengan pengikutnya. Jurang perhubungan yang terlalu luas antara pemimpin dengan pengikut turut menyebabkan suasana tegang dalam sesebuah institusi.

Bagi menjadi seorang pemimpin yang disegani semua pihak, mereka perlu menyesuaikan watak dan pembawaan diri dengan situasi seperti yang dianjurkan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Ada ketikanya pemimpin perlu menonjolkan ketegasan, pada saat yang lain berlembutlah pula.

Teori dan dapatan kajian dalam kepimpinan menunjukkan jenis pengikut biasanya terhasil melalui gaya kepimpinan yang digunapakai oleh pemimpin.

Selain itu, pengikut juga memainkan peranan penting dalam menentukan gaya kepimpinan yang akan diaplikasikan.

Kejayaan sebagai pemimpin boleh dicapai dengan pemilihan gaya kepimpinan yang betul dan sesuai dengan kematangan pengikutnya.

Faktor

Kajian menunjukkan pemilihan gaya kepimpinan amat bergantung kepada beberapa faktor.

Pertama, faktor pengalaman. Gaya kepimpinan dan kecenderungan seseorang pemimpin dipengaruhi latar belakang, pengetahuan dan pengalamannya serta keyakinan terhadap pengikut.

Kedua, faktor kebolehan pengikut. Pemimpin boleh memberi penglibatan dan kebebasan yang lebih banyak apabila pengikut suka berdikari dan bebas serta bersedia menerima tanggungjawab dalam membuat keputusan.

Pengetahuan dan pengalaman yang dibekalkan secukupnya kepada pekerja membolehkan pemberdayaan dilakukan dengan cekap dan berkesan.

Ketiga, faktor situasi. Pemimpin perlu menyemak situasi semasa dalam mencorak gaya kepimpinannya.

Kajian mencadangkan bahawa gaya kepimpinan yang berkesan harus mengamalkan pelbagai gaya kepimpinan. Perubahan gaya kepimpinan perlu mengikut situasi yang sedang dihadapi.

Pemimpin yang bijak cenderung mengaplikasikan kepimpinan kontingensi dengan menjangkakan perubahan yang akan berlaku dan seterusnya merancang perubahan terhadap sumber manusia, rekabentuk struktur organisasi, operasi dan penggunaan teknologi.

Seorang yang bergelar pemimpin mesti menjadi suri teladan kepada pengikutnya. Sejauh mana pemimpin inginkan pengikut yang cemerlang banyak bergantung kepada peribadi dan tingkah laku yang dipamerkannya, ingatlah bahawa bentuk kuih bergantung kepada acuannya..

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!