ASFC mohon MFL beri FAS lebih masa
Menurutnya, dia percaya isu venue keramat Gergasi Merah itu mampu diselesaikan FAS menjelang aksi di laman sendiri menentang Perak pada Sabtu ini.
"Saya dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon bahawa kerja pembaikan sedang giat dilakukan pihak bertanggungjawab.
"Jadi saya dan penyokong Selangor amat berharap MFL dapat mengkaji semula kerana kita dapat lihat FAS dan DEFM (Darul Ehsan Facilitates Management Sdn Bhd) berusaha menyelesaikan perkara ini demi keselesaan para penyokong Selangor," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Faizal berkata demikian ketika mengulas tindakan MFL memaklumkan bahawa Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan selepas hasil pemeriksaan mendapati keadaan semasa bumbung masih tidak selamat bagi pengelolaan perlawanan Liga-M 2020.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya memaklumkan perkara itu kepada FAS melalui surat rasmi pada 28 Februari lalu selepas melakukan tiga kali pemeriksaan keselamatan terhadap Stadium Shah Alam.
Sehubungan itu menurut Ab Ghani, FAS perlu menamakan venue lain sebagai gelanggang tuan rumah dengan kadar segera selewat-lewatnya sebelum 2 Mac.
Pada masa sama Mohd Faizal mengesa FAS menjadikan isu yang membelenggu Stadium Shah Alam sebagai satu pengajaran pada masa depan dalam mempersiapkan pasukan mengharungi saingan Liga-M.
Menurutnya, isu keselamatan melibatkan venue keramat Gergasi Merah khasnya berkaitan bumbung stadium ini adalah perkara lama.
"Mungkin sikap acuh tidak acuh menyebabkan perkara ini kurang diberikan perhatian pihak bertanggungjawab, sebaliknya perhatian lebih difokuskan kepada aspek lampu limpah dan keadaan padang di Stadium Shah Alam.
"Selain itu aspek kemudahan lain seperti tandas dan surau juga perlu berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan tidak hanya penyokong Selangor tetapi juga penyokong pasukan lawan.
"Jadi kami penyokong berharap perkara ini menjadi pengajaran berguna kepada FAS untuk lebih peka pada masa depan," katanya situasi itu tidak akan melemahkan semangat penyokong Gergasi Merah untuk ke stadium.
ARTIKEL BERKAITAN: Selangor, PJ City kena cari venue baharu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!