Covid-19: Jangan panik, fokus strategi pembendungan - WHO

Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Panik dan ketakutan terhadap COVID-19 tidak hanya memberi kesan kepada ekonomi tetapi mungkin juga akan memberi implikasi terhadap politik dan sosial di seluruh dunia, menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata masyarakat global perlu terus memberi tumpuan kepada cara terbaik untuk menangani panik dan ketakutan ini dengan mengambil tindakan yang sesuai, membuat penilaian dan strategi pembendungan.

"Ia bukan panik atau kebimbangan yang kita perlukan sekarang. Sudah pasti kita akan berasa bimbang, risau, ia adalah suatu yang biasa, tetapi apa yang kita perlukan sekarang ialah untuk terus fokus dan melakukan perkara yang betul.

"Jika tidak, panik dan ketakutan bukan hanya akan menjejaskan ekonomi tetapi mungkin juga akan memberi kesan terhadap politik dan sosial, bahkan lebih berbahaya daripada virus itu sendiri.

"Nasihat kami kepada dunia tentang apa yang perlu dilakukan sekarang ialah pendekatan komprehensif. Kita perlu memberi tumpuan terhadap fasa pembendungan untuk mengawal virus ini,” katanya semasa sesi peringkat tinggi pertama: Kepentingan Kemanusiaan-perkembangan Nexus sempena Forum Antarabangsa Kemanusiaan Riyadh ke-2 di sini pada Ahad.

Turut hadir semasa sesi itu antaranya ialah; Penyelia Umum Pusat Bantuan Kemanusiaan dan Pemindahan Raja Salman (KSrelief) Dr Abdullah Al Rabeeah, Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) David Beasley dan Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan PBB, Mark Lowcock.

Dr Tedros menegaskan walaupun saranan daripada beberapa pakar dan pengamal media untuk menangani wabak ini sebagai pandemik, agensi itu percaya ia belum mencapai tahap itu.

"Terdapat potensi menjadi pandemik, apa pun boleh masuk melalui banyak arah. Tetapi sekarang, dari penilaian global yang kami ada, kami tidak melihat penyebaran dalam komuniti yang intensif dan berterusan di pelbagai negara.

Artikel Berkaitan:

"Bermaksud, fakta di lapangan, tidak menunjukkan perkara itu. Tetapi terdapat kluster (kes) di Iran, Korea Selatan dan Itali yang mungkin melalui penyebaran dalam komuniti. Apabila ini berlaku, ia mungkin layak sebagai definisi pandemik,” jelasnya.

WHO pada Jumaat menaikkan penilaian risiko mereka untuk penyebaran dan kesan COVID-19 daripada ‘tinggi’ kepada ‘sangat tinggi’ tetapi masih enggan mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik di tengah-tengah kesannya terhadap peningkatan jumlah negara yang terbabit.

Dr Tedros menekankan mengenai strategi pembendungan yang dilaksanakan di sesetengah negara telah berjaya mengatasi wabak itu sehingga jumlah kes merosot.

Beliau menekankan kepentingan pendekatan komprehensif menggunakan strategi pembendungan untuk melawan virus itu dan bukannya panik dan menyebarkan unsur negatif.

"Jadi pendekatan terbaik yang kita ada, berdasarkan tahap risiko negara dan penilaian global adalah untuk bersiap siaga mendepani sebarang pandemik yang berpotensi melalui pendekatan komprehensif.

"Melabur dalam pendekatan komprehensif ini, jangan panik atau bimbang, harus tenang dan fokus. Hanya hindari stigma,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia PBB David Beasley berkata orang ramai tidak seharusnya panik kerana agensi itu bersama-sama WHO, telah bekerja secara strategik dengan mekanisme yang ideal untuk menangani virus yang baharu dan sama sekali berbeza itu.

Beliau percaya sesetengah pihak telah memberi reaksi berlebihan di pasaran secara berterusan dan ini akan menyebabkan kesan bencana.

"Ia akan mewujudkan ketidakstabilan selanjutnya. Ini bukan masanya untuk panik, ini adalah masa untuk meningkatkan lagi usaha, masa untuk bertindak balas dengan langkah komprehensif melibatkan pemimpin-pemimpin negara bersama-sama.

"COVID-19 ini hanyalah satu daripada banyak isu yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Forum Kemanusiaan Antarabangsa Riyadh ke-2 yang berlangsung dari 1-2 Mac anjuran KSrelief, bertujuan menangani isu-isu kemanusiaan dan trend global melalui lima perbincangan panel utama, dua sesi media dan satu sesi sukarelawan.

Cadangan forum akan dibentangkan sebagai laporan komprehensif yang mengandungi ringkasan penemuan. Laporan ini akan menyediakan para peserta dengan prinsip-prinsip yang akan diguna pakai dan digunakan di lapangan.

Laporan itu akan diselaraskan oleh pakar di Arab Saudi dan PBB. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!