Kematangan bantu kemenangan Selangor

Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme dihalang penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid pada perlawanan Liga Super di Kuantan. -Foto Bernama
Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme dihalang penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid pada perlawanan Liga Super di Kuantan. -Foto Bernama
A
A
A

KEUPAYAAN untuk kekal tenang semasa berdepan tekanan daripada Pahang membuahkan hasil buat Selangor apabila meraih kemenangan pada aksi pertama saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini.

Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan berkata, anak buahnya menerima tentangan hebat daripada Pahang terutama daripada tonggak utamanya Dickson Nwakaeme sebelum mereka berjaya meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

"Saya tahu pemain Pahang boleh beraksi dengan baik sebaik sahaja melihat senarai mereka. Kita pula tidak bermain pada tahap biasa," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, Tok Gajah mendahului menerusi jaringan Ivan Carlos pada minit ke-20 namun, Selangor menyamakan keputusan melalui penyerang importnya, Ifedayo Olusegun tujuh minit kemudian, sebelum Brendan Gan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-89.

Walaupun mencatatkan kemenangan di tempat lawan, Satiananthan masih kurang berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya.

Selain prestasi pemain Red Giants, Sathianathan juga melihat keadaan padang Stadium Darul Makmur sebagai antara penyebab pemainnya gagal menyerlah pada perlawanan itu.

"Selalunya padang di sini amat cantik...tetapi malam ini saya lihat ia seperti berlubang di sana sini, mungkin inilah mengapa kita tidak dapat menghantar bola dengan baik," katanya.

Sementara itu, Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui prestasi Tok Gajah menurun selepas mereka menjaringkan gol pendahuluan sehingga dihukum dengan kekalahan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun menurunkan kesebelasan utama pada perlawanan itu, pemainnya mulai leka selepas memperoleh gol pertama dan sikap itu membawa padah apabila bertemu dengan pasukan berpengalaman seperti Selangor.

"Aksi kita turut terjejas memandangkan Mark Goulon terpaksa dikeluarkan selain Khamis Khalil juga beraksi agak goyah berbanding persembahannya sebelum ini.

"Kita cuba bangkit semula pada babak kedua tapi malangnya banyak peluang yang diperoleh disia-siakan...menyebabkan Selangor yang melakukan ‘counter attack’ berjaya mendapatkan gol," katanya.

Dollah berkata, daripada perlawanan itu, beliau akan melakukan penambahbaikan di semua posisi khususnya pertahanan dan tengah bagi mengatasi kelemahan itu pada perlawanan seterusnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!