Rina yakin penuh kewibawaan Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd Harun amat yakin pengalaman luas serta kewibawaan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu membawa semua pihak bergerak dan bersatu ke arah membina masa hadapan Malaysia.
Sambil merakamkan ucapan tahniah kepada Muhyiddin atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri, Rina dalam kenyataan hari ini juga berterima kasih kepada parti-parti politik serta pihak yang menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri kelapan itu bagi memimpin kerajaan Persekutuan.
“Sesungguhnya, sokongan ini memberi nilai dan makna yang amat besar demi kepentingan rakyat dan negara.
“Adalah diharapkan sokongan ini dapat diteruskan dalam konteks kerjasama rapat dalam perjalanan membina negara, khususnya menangani isu yang mendesak seperti penyebaran koronavirus (Covid-19) yang mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat sekali gus memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara dan dunia secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata, kepentingan rakyat dan negara seharusnya diletakkan pada unjuran teratas dalam senarai keutamaan pemimpin hari ini.
“Kestabilan politik amatlah penting untuk membolehkan jentera kerajaan dan semua pihak memberikan fokus untuk menangani isu ekonomi termasuk membina keyakinan para pelabur luar dan dalam negara,” katanya.
Dalam pada itu, Rina turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad atas jasa besar dan perkhidmatan beliau kepada negara.
Muhyiddin telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri kelapan semalam.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!