YaPEIM perhebat program Foodbank 2.0
KUALA LUMPUR - Selepas kejayaan program Foodbank 1.0 yang dilancarkan pada tahun lalu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kini terus mengorak langkah dalam membantu golongan sasar dengan memasukkan elemen-elemen baharu pada Foodbank 2.0 bermula bulan ini.
Pemangku Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, sumbangan daging segar dan juga elemen nutrisi menjadi antara yang akan diberi perhatian dalam pakej Foodbank 2.0 selaras dengan pendekatan yang diambil bagi memenuhi keperluan program itu sendiri.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mengambil pendekatan menjadikan pasar raya YaPEIM sebagai pusat kitar semula di mana pelanggan yang mengitar semula barangan akan diberikan kupon Foodbank untuk mereka menukarkan kepada barangan keperluan khususnya makanan.
“Sejak Foodbank 1.0 ini diperkenalkan, kita telah berjaya menyantuni seramai 250,000 golongan sasar di 220 daerah di seluruh negara menerusi pelbagai program dengan melibatkan peruntukkan sebanyak RM4 juta.
“Insya-ALLAH ramai lagi yang akan menerima manfaat menerusi program Foodbank 2.0 dan kita juga menggalakkan masyarakat untuk bersama menyalurkan sumbangan bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program penyerahan sumbangan Foodbank 1.0 - Daging Segar di Rumah Pengasih di sini pada Jumaat lalu.
Hadir sama, Pengarah Kanan Pengurusan Dana Infak dan Sosio Ekonomi YaPEIM, Mohd Zami Zakaria dan Presiden Persatuan Pengasih Malaysia merangkap Timbalan Presiden Malaysia Substance Abuse Council (MASAC), Ramli Abdul Samad.
Mengulas lanjut, Parihah berkata, program sumbangan daging segar itu merupakan inisiatif terbaharu YaPEIM dalam mempelbagaikan bentuk sumbangan dengan penglibatan daripada pelbagai rakan strategik.
Katanya, kerjasama yang julung kali diadakan bersama MASAC itu juga bersempena dengan Bulan Anti Dadah Kebangsaan 2020 yang turut melibatkan rumah pemulihan (rehabilitasi) di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor termasuk Rumah Pengasih, Rumah Sahabat, Astana Budi, Pondok Inabah serta Rumah Ikhtiar.
“Ini merupakan satu pendekatan yang sangat menarik kerana menerusi sumbangan daging segar ini kita mendapat lebih penglibatan daripada kumpulan sasar apabila sama-sama bergotong-royong menjayakan kenduri ini.
“Menerusi penglibatan sebegini ia sekali gus dapat membantu mereka mengenali dan mengetahui peranan sebenar YaPEIM dalam masyarakat dengan lebih dekat,” katanya.
Sementara itu, Ramli menyifatkan pendekatan dilakukan YaPEIM itu adalah sesuatu yang harus dipuji kerana selain menghulurkan sumbangan program itu juga dilihat mampu meningkatkan hubungan penghuni Rumah Pengasih itu dengan masyarakat luar.
Katanya, ia merupakan satu proses yang sangat penting terutamanya buat penghuni di Rumah Pengasih untuk mereka terus memperbaiki diri dan mengharapkan program seumpama itu mampu diteruskan pada masa-masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!