Silap makan punca penyakit
KAJIAN Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan Kementerian Kesihatan setiap lima tahun mendapati, Penyakit Tidak Berjangkit atau lebih dikenali sebagai NCD di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.
Berdasarkan statistik kajian, orang dewasa yang mengalami diabetes meningkat dari 8.3 peratus pada tahun 1996 kepada 17.5 peratus pada 2015. Orang dewasa yang menghidap hipertensi pula kekal di sekitar 30 peratus dalam tempoh sama. Merokok dan obesiti merupakan antara faktor utama bagi kedua-dua penyakit ini.
Tahun lalu, Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) mendedahkan Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.
Kira-kira 2.5 juta orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes dan statistik dalam rekod NADI menunjukkan hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka menghidap diabetes! Ini belum termasuk statistik penyakit popular seperti darah tinggi, lemah jantung atau obesiti.
Pemakanan dan penyakit saling berkait. Apabila menyentuh bab makanan, orang Malaysia antara yang dikatakan ‘kaki makan’. Bumi Malaysia ini juga bertuah kerana setiap satu budaya mempunyai pengaruh yang besar dari segi makanan. Apa sahaja bentuk hidangan yang teringin dimakan mudah didapati hanya di satu restoran.
Makan lewat malam pula kini menjadi salah satu trend atau gaya hidup rakyat negara ini, terutama warga kota. Ramai yang gemar makan selepas jam 12 tengah malam kerana banyak restoran makanan segera, restoran mamak dan trak makanan beroperasi hingga pagi. Itu tidak termasuk khidmat penghantar makanan yang boleh dipesan bila-bila masa sahaja diperlukan.
Apabila makanan boleh diakses dengan begitu mudah dan diambil tanpa mengikut jadual pemakanan, tubuh tidak menerima diet yang betul. Akhirnya terdedah dengan pelbagai masalah penyakit yang boleh menjejaskan kualiti kesihatan.
Kos makanan meningkat
Tubuh badan yang sihat adalah aset dan nikmat paling besar bagi setiap manusia. Keadaan semasa tubuh badan sama ada sihat atau sebaliknya mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang. Jika tidak sihat, semua perkara tidak dapat dilakukan. Apabila menderita sakit dan terlantar, disuapkan makanan paling mewah dan mahal di dunia sekalipun tidak akan memberi apa-apa makna lagi.
Miliki kekayaan bukan jaminan kepada kesihatan yang sempurna jika tidak dijaga dengan baik. Wang tidak mampu membeli kesihatan, wang tidak mampu membeli masa dan wang juga tidak mampu membeli kehidupan. Apabila timbul penyakit dan tidak dapat diubati lagi, segala-gala yang dimiliki akan punah sekelip mata.
Apabila makanan semakin mudah diakses, ramai yang tidak sedar mereka bukan sahaja terjebak dengan makanan segera yang tidak sihat tetapi terperangkap dengan harga makanan dan minuman yang mahal. Di luar, harga satu hidangan mencecah RM20 seorang untuk sekali makan, bayangkan kos yang perlu disediakan untuk tiga kali makan dalam sehari. Tidak termasuk kos barangan dapur, berapa pula kos makanan siap yang perlu disediakan sebulan?
Tahukah anda, harga makanan yang semakin tinggi menjadi faktor peningkatan bebanan kos sara hidup isi rumah di Malaysia terutama bagi mereka yang tinggal di bandar besar. Laporan pada 2014 oleh Khazanah Research Insitute (KRI) menunjukkan, makanan kekal sebagai sebahagian besar perbelanjaan kebanyakan isi rumah dengan kadar peningkatan harga makanan berada di tahap membimbangkan.
Lebih 94 peratus isi rumah berbelanja lebih untuk makanan dan mereka yang berpendapatan rendah dari RM2,000 telah membelanjakan lebih 38 peratus daripada perbelanjaan bulanan mereka hanya untuk makanan. Dengan kenaikan harga barangan saban tahun, harga makanan pada tahun 2020 ini semakin jelas mempunyai kesan langsung kepada kos sara hidup jika trend atau gaya hidup tidak diubah.
Orang ramai juga cenderung untuk terlebih makan apabila bersama keluarga dan rakan-rakan. Keseronokan ketika makan secara berkumpulan akan lebih ketara dan sukar dihentikan. Makan berkumpulan dan duduk berjam-jam di restoran mendorong kita berbelanja lebih daripada biasa, sekali gus berlaku pertambahan bajet sedia ada.
Makan di luar atau berbelanja lebih sedikit untuk makan bukanlah satu halangan. Malah, ukhuwah biasanya terjalin saat kita makan beramai-ramai. Namun, pastikan anda memilih cara yang betul.
Empat panduan di bawah bantu anda memastikan sistem pemakanan terjamin dan wang dapat dijimatkan.
1. Bergaul dengan mereka yang arif
Menguruskan pemakanan tidak sepatutnya bersandarkan kepada keseronokan tetapi carilah pengaruh yang baik. Apabila memutuskan untuk makan secara berkumpulan, pilih mereka yang mementingkan kesihatan. Pasti ada di antara rakan atau ahli keluarga kita yang tahu tentang pelan pemakanan, menu sihat dan cara diet yang betul. Ini membantu kita membina tabiat pemakanan sihat.
2. Sesuaikan makanan dengan tahap kesihatan
Ramai yang rela terseksa dan menderita sakit semata-mata untuk makan. Misalnya, penghidap gout masih gemar meratah makanan laut walaupun tahu selepas itu mereka akan sakit berhari-hari apabila kaki atau tangan membengkak. Pesakit diabetes masih leka dibuai keenakan makanan dan minuman manis sedangkan tahap kesihatan mereka sering merosot.
3. Pilih makanan yang betul
Jangan jadikan makanan yang lazat sebagai perkara utama, pesan Imam al-Haddad. Kawal pemakanan dan jangan berlebihan walaupun ia datang daripada sumber yang halal. Berlebihan mungkin menjadi permulaan kepada kejahatan. Mana satu pilihan anda - meninggalkan makanan tidak sihat secara sukarela atau dipaksa? Pernahkah terfikir kenapa tubuh sering merasa letih, malas, kurang teliti, fikiran bercelaru, lambat dan tidak produktif? Salah satunya disebabkan diet yang tidak seimbang!
4. Berkongsi hidangan
Guna konsep makanan untuk dua orang yang dikongsi dengan tiga atau empat orang. Nabi Muhammad SAW menggalakkan kita menerima jemputan walaupun makanannya sedikit. Baginda sering dilihat makan bersama orang miskin walaupun makanan itu sedikit. Jadi, mulakan pelan ini bersama rakan-rakan di pejabat, jangan buat persiapan keterlaluan. Kurangkan kekerapan makan di luar tetapi gantikan dengan konsep 'portluck'. Cara ini lebih mudah mengekalkan hubungan, malah menjimatkan perbelanjaan.
Hidup bukan untuk makan tetapi makanan penting untuk kehidupan. Berpada-padalah ketika berbelanja walaupun ianya berkaitan dengan makanan. Berbelanja di luar kemampuan adalah satu tabiat yang tidak baik dalam pengurusan kewangan peribadi. Sediakan payung sebelum hujan. Layari www.bnm.gov.my dan dapatkan pelbagai tips menguruskan wang dengan bijak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!