Lans Koperal polis maut kemalangan
SITIAWAN - Seorang anggota polis maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di KM 21, Jalan Sitiawan-Teluk Intan di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, Lans Koperal Mohamad Fazle Effandy Mohd Azni, 29, yang bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Honda CBR dan kereta jenis Nissan X-Trail yang dipandu lelaki berusia 58 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta itu dipandu dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan manakala mangsa menunggang dari arah bertentangan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
"Pemandu kereta terbabit cuba mengelak dan brek namun, kerana jarak terlalu dekat kenderaan itu telah terlanggar mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Omar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan 'polytrauma'.
"Siasatan lanjut diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!