Alhamdulillah saya ok, kata Hun Haqeem
Hun Haqeem
A
A
A
Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy memberitahu sudah selamat menjalani pembedahan petang semalam dan setakat ini masih belum mengetahui perkembangan terkini daripada doktor mengenai kecederaan ligamen kakinya.
"Alhamdulillah saya ok sekarang dan pembedahan pun berjalan lancar. Cuma buat masa sekarang, saya belum tahu lagi keputusan kecederaan ligamen kaki.
"Insya-ALLAH saya boleh keluar tengah hari nanti," katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya mengenai punca kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, Hun berkata, ketika kejadian dia baharu sahaja selesai bermain futsal bersama rakan-rakan.
"Saya dalam perjalanan pulang ke rumah dan terlelap ketika menunggang motor bersendirian," jelasnya yang masih terikat dengan penggambaran Seindah Tujuh Warna Pelangi, sedang ditayangkan di slot Akasia TV3.
Sementara itu, pengarah Seindah Tujuh Warna Pelangi, Eoon Shuhaini memberitahu pihak produksi akan mengolah skrip bagi membolehkan Hun menyelesaikan baki penggambaran lebih kurang tiga hari lagi.
Bagaimanapun buat masa ini, Hun yang memegang watak Arjuna di dalam drama berkenaan akan diberi cuti untuk beberapa hari.
"Kalau ikutkan Hun ada baki tiga hari lagi penggambaran dan kami dijangka selesai semua sekali pada 8 Februari ini.
"Bagaimanapun kami akan beri dia cuti beberapa hari lagi dan mungkin kita akan olah skrip sebab dia hanya alami kecederaan pada bahagian kaki sahaja," jelas Eoon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!