Pilihan raya umum ketiga dalam tempoh setahun di Israel
TEL AVIV - Israel hari ini mengadakan pilihan raya umum ketiga dalam tempoh setahun yang akan menyaksikan 'drama tidak berkesudahan' untuk memecahkan kebuntuan politik.
Dua pemilihan pada April dan September pada tahun lalu gagal untuk menentukan pemenang jelas antara Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang memimpin Parti Likud dan pencabar utamanya, Benny Gantz yang juga pemimpin Parti Biru dan Putih.
Kebanyakan penduduk Israel tidak lagi ghairah untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada kali ini malah ada yang tidak menolak kemungkinan akan berlaku pilihan raya keempat jika kerajaan gabungan masih gagal dibentuk.
Pemilihan kali ini juga dilihat bakal menggugat kedudukan Netanyahu yang menjadi Perdana Menteri paling lama berkhidmat selepas pemimpin berhaluan kanan tersebut berdepan dakwaan rasuah, melakukan penipuan dan pecah amanah serta akan dibicarakan bermula 17 Mac ini.
Netanyahu cuba mengambil kesempatan untuk meraih sokongan sayap kanan dengan menggunakan pelan damai kontroversi, Deal of the Centuty yang diumumkan sekutu rapatnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada akhir Januari lalu.
Beliau juga mengulangi janji dalam kempen pilihan raya sebelum ini untuk merampas Tebing Barat dan mengumumkan projek ribuan unit penempatan haram baharu Yahudi di Baitulmaqdis Timur walaupun dikecam negara antarabangsa.
Menerusi wawancara bersama Jerusalem Post, beliau memberi amaran bahawa Gantz tidak dapat membentuk kerajaan tanpa sokongan daripada Senarai Bersama Arab dan pemimpinnya, Ahmad Tibi.
Senarai Bersama Arab mencatatkan kemenangan mengejut dengan meraih 13 kerusi dalam pemilihan sebelum ini sekali gus menjadikannya blok ketiga terbesar di Knesset.
"Jika Likud tidak menang, mungkin akan berlaku pilihan raya keempat atau kerajaan haluan kiri dipimpin Gantz yang terpaksa bergantung kepada Ahmad Tibi dan Senarai Bersama Arab," ujarnya.
Tahun lalu juga menyaksikan parti Yisrael Beitenu yang dipimpin Avigdor Lieberman keluar daripada blok sayap kanan pimpinan Netanyahu yang memberi tamparan hebat kepada beliau sekali gus mencetuskan kebuntuan politik tidak pernah berlaku sebelum ini.
Tinjauan baru-baru ini menunjukkan Parti Likud dan Parti Biru dan Putih dijangka gagal meraih 61 daripada 120 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti di Knesset.
Profesor Sains Politik di Hebrew University of Jerusalem, Gideon Rahat berkata, status quo dalam pemilihan tersebut akan menjadi berita baik buat Netanyahu.
"Beliau tidak akan menarik lebih ramai pengundi dan tidak juga kehilangan pengundi walaupun berdepan tuduhan jenayah. Kedua-dua parti utama itu kini bimbang dengan jumlah pengundi yang akan keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Jumlah pengundi yang keluar mengundi mungkin akan menurun akibat sikap tidak peduli pengundi yang sudah jelak kerana pemilihan yang berlaku dalam waktu singkat," ujarnya.
Awal minggu lalu, Gantz yang merupakan bekas ketua tentera cuba meraih sokongan penduduk Israel dengan menggunakan isu dakwaan jenayah yang mencalarkan imej Netanyahu.
"Netanyahu akan dibicarakan di mahkamah dan beliau tidak akan dapat berkhidmat dengan baik serta menjaga keperluan penduduk Israel," kata Gantz yang pernah menyatakan beliau tidak sesekali akan membentuk kerajaan dengan Senarai Bersama Arab.
"Sukar bagi saya untuk melihat sebarang kemungkinan jelas untuk perubahan substantif mengejutkan. Pilihan raya keempat mungkin akan berlaku jika kerajaan terus gagal dibentuk. Ia adalah krisis sistem politik paling teruk dalam sejarah Israel," kata penyelidik di Institut Demokrasi Israel, Assaf Shapira.
Sejak lebih setahun lalu, Israel berada di bawah pentadbiran kerajaan interim dan kebanyakan pihak masih belum terkesan dengan kebuntuan politik, namun keadaan itu dijangka memberi impak lebih besar jika ia berlarutan tanpa sebarang jalan penyelesaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!