Najib tenang hadir perbicaraan kes SRC hari ke-85
KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-85 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Najib kelihatan tenang ketika yang hadir ke mahkamah diiringi penyokong dan kenalan rapatnya.
Perbicaraan pagi ini merupakan prosiding pertama selepas secara rasminya pelantikan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perkenan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun prosiding ditangguhkan ke jam 2.30 petang ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar dan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram.
Mahkamah diberitahu bahawa saksi kesembilan pembelaan, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nasharudin Amir hanya boleh mendapatkan dokumentasi yang relevan sekitar selepas tengah hari ini.
Dokumen-dokumen berkaitan diperlukan untuk Nasharudin merujuk dalam pemeriksaan balas oleh Sithambaram berhubung di mana Najib berada pada tarikh 11 Januari 2010.
Sithambaram sedang berusaha untuk pemeriksaan balas terhadap Nasharudin sama ada pada 11 Januari 2010, Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu ada dalam pertemuan tidak rasmi dengan Raja Abdullah di Riyadh, Arab Saudi atau pada ketika itu menghadiri pelancaran ibu pejabat korporat 1MDB di Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!