Inisiatif 'Tambah Emas' bantu atlet paralimpik ke Tokyo 2020
INISIATIF “Tambah Emas” iaitu program mengumpul dana awam bagi persiapan atlet paralimpik ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, yang diusahakan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) membuktikan bahawa badan itu memahami situasi semasa kerajaan yang berdepan sumber terhad.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap pihak korporat dan masyarakat umum akan menyumbang bagi menyokong usaha MPM menambah lebih banyak pingat emas dalam acara sukan itu.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MPM atas segala usaha yang telah dibuat bagi mempromosi pergerakan sukan para di negara kita yang tercinta.
“Pihak kerajaan sentiasa memberi sokongan dan menyediakan pelbagai sumber mengikut kemampuan untuk sentiasa menyokong pergerakan sukan para di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Wheel Walk Fun Run sempena Sambutan Hari OKU (Orang Kurang Upaya) peringkat Kebangsaan 2018 serta pelancaran program Tambah Emas di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!