Pengalaman Muhyidin diyakini lonjak polisi baharu Pertunas
KUALA TERENGGANU - Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas) berharap program pemerkasaan usahawan muda di negara ini akan menjadi antara agenda utama Perdana Menteri yang baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agungnya, Nurliana Muhammad berkata, sektor keusahawanan adalah solusi penting dalam menangani jumlah pengangguran dalam kalangan golongan muda terutama graduan Bumiputera.
"Pertunas yakin dengan pengalaman Tan Sri Muhyidin di beberapa kementerian sebelum ini akan dapat memperkenalkan beberapa polisi yang lebih segar dan baharu bagi meningkatkan taraf ekonomi usahawan muda Bumiputera di negara ini yang masih ketinggalan terutama yang berumur antara 18 hingga 30 tahun.
"Pertunas juga menyarankan agar kerajaan dapat membentuk satu sekretariat khusus yang mampu bertindak sebagai penyelaras, menyelia dan memantau pelaksanaan setiap program serta dana yang melibatkan golongan muda Bumiputera agar impaknya kepada golongan ini boleh dilihat dalam masa yang singkat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pertunas yang ditubuhkan pada 2017 sehingga kini mempunyai 4,421 ahli yang terdiri daripada usahawan muda berusia bawah 30 tahun di seluruh negara. Kesemua mereka adalah alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang diselia oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp)
Mengulas lanjut, Nurliana berkata, penyelarasan yang lebih tersusun dan sistematik ini penting bagi memastikan setiap program keusahawanan oleh kerajaan akan lebih memfokuskan kepada golongan sasar dan mampu mengelak pertindihan program.
"Ini juga sekali gus akan memastikan setiap perbelanjaan kerajaan dapat dioptimumkan dan impak kepada perniagaan usahawan muda lebih memberi manfaat dan dirasai.
"Golongan muda merupakan aset penting negara yang mana peranan dan sumbangan mereka dalam pembentukan masyarakat dan negara adalah amat signifikan," katanya.
Beliau berkata, ini kerana komposisi dan representatif golongan muda dalam populasi nasional adalah besar.
Katanya statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2018 merekodkan bahawa kira-kira 10.2 juta (38.9 peratus) penduduk di negara kita ini adalah golongan muda Bumiputera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!