KPDNHEP Pahang rampas 31,000kg minyak masak
KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi hasil serbuan ke atas sebuah premis yang sebelum ini dijadikan bengkel kenderaan berat di Lorong Seri Mahkota Aman 1 di sini semalam.
Empat pekerja syarikat berusia 30 hingga 50 tahun ditahan manakala sebanyak 31,000 kg minyak masak bersubsidi bernilai RM77,500 dirampas dalam operasi kira-kira jam 4 petang.
Timbalan Pengarah KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, hasil risikan, syarikat berkenaan didapati mengutip minyak masak bersubsidi daripada syarikat pembungkusan bahan masakan itu dari sekitar Kuantan sebelum mengumpulnya di premis berkenaan dipercayai untuk diseludup atau dijual kepada pihak industri dengan harga lebih tinggi.
"Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, syarikat berkenaan menggunakan dua lori 1 tan dilengkapi tangki plastik yang kelihatan kotor pada bahagian luarnya seolah-olah digunakan untuk mengisi minyak masak terpakai.
"Mereka juga turut memasang perekat pada lori bagi membuktikan mereka menjalankan perniagaan mengutip minyak masak terpakai berlesen," katanya pada sidang media di lokasi serbuan di sini malam tadi.
Menurutnya, tiga lori termasuk sebuah lori tangki yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000 turut dirampas ketika serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam sejak tiga minggu lalu.
"Hasil pemeriksaan mendapati tangki berkenaan sebenarnya berisi minyak masak bersih yang dikutip dari syarikat pembungkusan bahan itu di sekitar daerah ini.
"Kita turut menemui puluhan tangki plastik, tiga tangki besar berisi minyak masak bersubsidi selain sebuah lori tangki bersama muatan minyak masak bersubsidi dipercayai menunggu masa untuk diangkut keluar.
"Pada bahagian hadapan premis ditemui beberapa tangki plastik berisi minyak masak terpakai dipercayai sengaja diletakkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.
Katanya, kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak sebulan lalu dan hasil pemantauan mereka sudah tiga kali mengangkut keluar minyak masak bersubsidi dari premis berkenaan.
"Mereka menjadikan premis yang disewa di kawasan perindustrian itu bagi menutup kegiatan haram itu memandangkan lokasi agak tersorok.
"Aktiviti pemindahan minyak masak ke lori tangki dilakukan di bahagian belakang premis yang turut menempatkan lori rosak yang sedang di baiki bengkel bersebelahan," katanya.
Ahmad Fitri berkata, sekali pandang, aktiviti pemindahan itu sukar untuk dikesan memandangkan lori tangki yang digunakan seolah-olah dipakir menunggu giliran untuk dibaiki.
"Berdasarkan pemantauan, lori yang siap diisi dengan barang kawalan itu akan keluar bersama muatan pada waktu tengah malam dan keluar dari daerah ini menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1).
"Pemilik premis sudah dikenal pasti dan keterangan akan diambil bagi membantu siasatan, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pembekal dan pembelinya.
"Kita percaya, kegiatan ini didalangi sindiket yang mempunyai rangkaian di negeri-negeri lain terutama negeri yang bersempadan dengan negara jiran," katanya.
Menurutnya, kes penyelewengan minyak masak bersubsidi itu adalah yang pertama di Pahang tahun ini.Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!