Empat pemimpin Pas disebut-sebut calon MB Kedah

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa nama pemimpin Pas Kedah disebut-sebut sebagai Menteri Besar Kedah baharu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, selepas Perikatan Nasional dijangka menerajui Kedah.

Antara nama yang tular sejak semalam adalah Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor; Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris dan ADUN Kuala Nerang, Munir Zakaria.

Malah beberapa versi poster ucapan tahniah atas pelantikan sebagai Menteri Besar Kedah turut berlegar di media sosial, menghangatkan suasana politik di Kedah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri menegaskan, sebarang pertukaran kerajaan negeri tidak perlu dibuat tergesa-gesa.

“Kita sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, yang penting kekalkan suasana tenang dan harmoni di negeri ini.

"Kita sudah lama jadi pembangkang, tak perlu gopoh. Kita juga perlu ambil kira perkembangan semasa di Pusat kerana akan beri kesan kepada negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kebiasaannya kepimpinan kerajaan negeri selari dengan Pusat bagi memberi banyak manfaat kepada rakyat.

“Tidak mungkin Kedah akan jadi negeri pembangkang di bawah pentadbiran Mukhriz.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun tunggu perkembangan dan arahan dari Pusat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Pas dan UMNO Kedah sudah mengadakan mesyuarat bersama untuk pembentukan kerajaan negeri yang baharu, katanya, masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu.

Dr Mohd Hayati yang juga ADUN Tokai pula menyifatkan mesej tular itu sebagai permainan politik sambil memberitahu belum ada sebarang perbincangan mengenai calon Menteri Besar.

“Saya tidak tahu siapa dipilih. Perkara itu ditentukan pucuk pimpinan Pas Pusat. Saya pun terkejut kerana ramai hubungi saya bertanyakan hal ini,” katanya.

Menurutnya, kesemua ADUN Pas Kedah masih menunggu perkembangan selanjutnya dan tidak sesekali akan mendahului Pusat.

“Biar peringkat Pusat selesaikan dahulu urusan kerajaan baharu bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional.

"Selepas itu mungkin pemimpin Pusat akan tentukan agenda negeri pula, jangan mudah percaya khabar angin,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, pemilihan calon Menteri Besar Kedah belum diputuskan sehingga kini.

“Saya pun tak tahu siapa yang buat poster itu, kemungkinan ini sekadar perang saraf pihak luar parti,” katanya.

Susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan Kedah yang ditadbir gabungan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka turut mengalami situasi sama, apatah lagi pendirian Mukhriz yang tidak menyokong pelantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

DUN Kedah dimonopoli Pas dengan 15 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (tujuh), Bersatu (enam), Parti Amanah Negara (empat), manakala UMNO dan DAP, masing-masing dua kerusi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!