Turki lancar operasi ketenteraan terhadap Syria
ISTANBUL - Turki semalam memaklumkan ia melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Syria buat pertama kali, sekali gus mengisytiharkan perang secara terbuka ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad.
Pengumuman itu dibuat tiga hari selepas Ankara kehilangan sekurang-kurangnya 36 anggota tentera dan lebih 30 yang lain cedera dalam serangan udara serta artileri dilancarkan Damsyik dan Moscow.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berikrar untuk bertindak balas dan turut menuntut tentera Syria berundur dari kawasan sempadan di utara Damsyik seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Turki bagaimanapun menegaskan, ia tidak mahu bertempur secara terus dengan Rusia.
Susulan operasi ketenteraan itu dilancarkan, Kumpulan Pemerhati Syria untuk Asasi Manusia (SOHR) memaklumkan sekurang-kurangnya 19 tentera Syria terbunuh dalam serangan dron dilancarkan Turki ke atas konvoi tentera di kawasan Jabal al-Zawiya, wilayah Idlib.
Kejadian tersebut berlaku beberapa jam selepas Turki menembak jatuh dua jet pejuang Syria.
“Dua jet SU-24 yang menyerang pesawat kami telah ditembak jatuh,” ujar Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!