Lelaki dihukum mati tikam pegawai pusat pemeriksaan
BEIJING - Sebuah mahkamah di China semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki selepas disabit bersalah menikam dua pegawai hingga menyebabkan mereka maut di pusat pemeriksaan yang ditubuhkan untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19) yang kini telah meragut 3,000 nyawa di seluruh dunia.
Ma Jianguo, 23, dilaporkan sedang memandu van mini melalui pusat pemeriksaan di perkampungan Luo Meng di Honghe, wilayah Yunnan apabila dia ditahan pegawai tempatan ketika kejadian pada 6 Februari lalu.
Tertuduh bagaimanapun enggan memberi kerjasama dan penumpangnya cuba mengalihkan sekatan lalu lintas.
Pegawai tempatan itu kemudiannya merakamkan perbuatan mereka dengan telefon bimbit, namun Jianguo bertindak menyerangnya dan menikam dada serta perut mangsa dengan pisau.
Dia turut menyerang seorang lagi pegawai yang cuba membantu mangsa.
Kedua-dua lelaki terbabit dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami mereka.
Menurut mahkamah, Jianguo telah menyerah diri secara sukarela dan mengaku melakukan pembunuhan ganas tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!