Arab Saudi sediakan 25 hospital untuk tangani Covid-19
RIYADH - Sebanyak 25 hospital disediakan di seluruh Arab Saudi untuk menangani kes jangkitan Covid-19, menurut Kementerian Kesihatan kelmarin.
Jurucakap kementerian itu, Mohammed Abdelali berkata, kesemua rakyat mereka yang dibawa pulang dari kawasan terjejas virus itu juga akan diberikan penjagaan kesihatan yang perlu.
“Kira-kira 2,200 katil telah disediakan untuk kes kuarantin,” ujarnya.
Sehingga kini, Riyadh masih bebas jangkitan wabak itu dan ancaman virus tersebut dikatakan tidak menjejaskan urus niaga di negara terbabit memandangkan ia masih berjalan seperti biasa.
Sementara itu, Setiausaha Rendah untuk Kementerian Hal Ehwal Haji dan Umrah, Abdulaziz Wazzan memaklumkan mereka sudah mula menghentikan sistem automatik untuk mengeluarkan visa umrah dan sistem pemprosesan visa untuk tempoh singkat.
“Langkah berjaga-jaga telah diedarkan kepada agensi umrah dan yang beroperasi di negara ini serta ejen luar,” jelasnya.
Keputusan penggantungan sementara visa umrah yang berkuat kuasa pada Khamis lalu menyebabkan kira-kira 106,000 jemaah sudah meninggalkan negara itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!