Muhyiddin zahir penghargaan, ucap terima kasih kepada Mahathir
KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah banyak berjasa kepada Malaysia.
Perdana Menteri merakamkan penghargaan itu semasa menyampaikan ucapan sulungnya bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ yang disiarkan stesen-stesen televisyen malam ini.
Muhyiddin, yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengasaskan parti itu pada 2016 bersama-sama Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu.
Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh setelah menerajui Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu merangkumi Bersatu, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.
Namun Dr Mahathir meletakkan jawatan utama kerajaan pada 24 Februari sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Interim oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari yang sama.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya bukan pengkhianat'
'Saya tawarkan jiwa dan raga saya kepada negara'
Muhyiddin ikrar lantik jemaah menteri bersih, berintegriti
Berikutan krisis kepimpinan negara yang berlanjutan hampir seminggu itu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara semalam.
Sepanjang hampir 22 bulan menerajui kepimpinan negara, Dr Mahathir dan barisan menterinya termasuk Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri, antara lain memperkenalkan dasar-dasar baharu termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.
Semasa menyandang jawatan baharunya itu, Muhyiddin berjanji kerajaan pimpinan beliau akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan WKB 2030. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!