Bukan menyekat kebebasan bersuara
KRISIS politik di Malaysia yang berlaku sepanjang minggu lalu sedikit sebanyak mengganggu emosi sesetengah penyokong parti politik dan rakyat di Malaysia.
Ada yang sanggup memaki-hamun di media sosial kerana tidak puas hati dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.
Apapun setakat semalam, dua lagi individu sudah ditahan kerana disyaki memuat naik status menjadikan keseluruhan yang ditahan adalah seramai tiga orang kerana menghina Al-Sultan Abdullah di laman sosial Facebook.
Dua lelaki berkenaan masing-masing ditahan di Sandakan, Sabah dan Sungai Buloh, Selangor.
Tidak kurang dalam tempoh 24 jam kelmarin, polis turut menahan pemilik Facebook Aaron Yee yang memuat naik kenyataan menghina Al-Sultan Abdullah berkaitan pelantikan Perdana Menteri kelapan.
Aaron Yee yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan turut menulis komen berbaur lucah dan menghina Seri Paduka Baginda.
Tangkapan terhadap lelaki berusia 35 tahun dibuat susulan siasatan yang dijalankan hari ini berhubung satu hantaran yang dimuat naik menggunakan akaun Facebook ‘Aaron Yee’.
Hina dan hasut
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga mengesahkan tiga siasatan berhubung status Facebook menghina raja manakala kes keempat berhubung status yang dimuat naik pemilik akaun Twitter Fadiah Nadwa Fikiri @FadiahNadwa kerana mempunyai unsur hasutan.
Abdul Hamid berkata, polis tidak akan menyekat kebebasan bersuara malah membenarkan perhimpunan awam selagi mereka mengikut undang-undang.
Pihaknya juga tidak berminat untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi kita juga perlu memikirkan keselamatan orang ramai, orang yang tidak terlibat atau tidak berminat.
Ini bukan kali pertama kes penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda dilaporkan, pada September tahun lalu, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyahaktifkan akaun Twitter baginda @cheminahsayang kerana dipercayai dihina netizen.
Walaupun tidak dapat dipastikan punca Raja Permaisuri Agong bertindak demikian namun tweet beberapa individu dikenal pasti penyebab Seri Paduka Baginda berbuat demikian.
Warga maya melancarkan kempen bagi ‘memujuk’ Tunku Azizah supaya mengaktifkan semula akaun Twitter rasminya.
Dengan tanda pagar #AmpunTuanku, warga maya merayu Raja Permaisuri Agong yang begitu disenangi oleh seluruh lapisan masyarakat mengaktifkan semula akaun Twitter Seri Paduka Baginda.
Kempen itu menjadi tular sehingga carian ‘Permaisuri Agong’ menjadi trending nombor satu disusuli #AmpunTuanku yang menduduki tangga ketiga tweet paling banyak.
Selepas menerima kecaman warga maya, seorang pengguna Twitter Firdaus Asraf tampil membuat permohonan maaf kepada Raja Permaisuri sambil menyatakan bersedia menghadap Tuanku.
Sekalung tahniah kepada PDRM kerana pantas melakukan siasatan dan tangkapan ke atas mereka yang menyalahgunakan laman sosial untuk menghasut dan memaki hamun Yang di-Pertuan Agong.
Penulis suka mengingatkan agar pemilik dan pengguna laman sosial memikirkan kesan dan akibat sebelum memuat naik sesuatu kenyataan kerana ia boleh memberi impak dan kesan tidak baik kepada orang lain yang membacanya selain boleh mewujudkan suasana yang tegang dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.
* Izwan Rozlin ialah Ketua Meja Jenayah Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!