MCW yakin kredibiliti Muhyiddin tangani rasuah

Jais
Jais
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) amat yakin dengan kredibiliti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri menangani isu berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa berkaitan ahli politik dalam negara.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, dalam isu rasuah negara, pihaknya meminta Muhyiddin melihat tiga perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Pertama, kami mahu Perdana Menteri perlu memastikan bahawa semua kes rasuah dan salah guna kuasa yang sedang berjalan sekarang diteruskan sehingga mahkamah membuat keputusan akhir.

“Seterusnya kami memohon agar kes Lim Guan Eng berkenaan projek terowong bawah laut dan isu pembelian banglo di Pulau Pinang dibuka semula oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes-kes berkenaan perlu diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan yang seterusnya.

Pihak MCW juga memohon agar Muhyiddin komited untuk membawa usul undang-undang pembiayaan politik untuk kelulusan Parlimen yang telah gagal dilaksanakan oleh empat Perdana Menteri yang lepas.

“Undang-undang ini penting dan mesti diluluskan segera sekiranya Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang benar-benar berintegriti tinggi.

“MCW akan terus kekal bersikap ‘non partisan’ dalam menyatakan pelbagai pandangan dan penambahbaikan demi kebaikan negara tercinta ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!