Surau terbiar jadi Rumah Ngaji

Inilah Rumah Ngaji@Surau Rumah Pangsa Lobak.
Inilah Rumah Ngaji@Surau Rumah Pangsa Lobak.
A
A
A

SEREMBAN - Hasrat untuk mengimarahkan surau terbiar di kawasan rumah pangsa Lobak di sini akhirnya tercapai apabila surau itu dijadikan Rumah Ngaji untuk penduduk dan kanak-kanak belajar mengaji al-Quran.

Rumah Ngaji@Surau Rumah Pangsa Lobak ini ialah Rumah Ngaji ke-35 ditubuhkan di Negeri Sembilan.

Menurut Pengasas Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim, usaha membuka rumah ngaji itu atas keprihatinan serta kesedaran seorang anak muda, Khairil Annuar Amran, 30, yang mencari tempat untuk menjalankan aktiviti keagamaan di kawasan tersebut.

Menurutnya, permintaan untuk belajar agama terutamanya mengaji adalah sangat tinggi dalam kalangan masyarakat, namun cabarannya kita kekurangan tenaga pengajar bertauliah yang boleh mengajar secara percuma.

"Kalau ada pun mereka ini mengenakan bayaran sehingga RM50 bagi setiap seorang dan jumlah itu dilihat sangat membebankan terutama bagi penduduk di rumah pangsa Lobak ini.

"Disebabkan itu, kumpulan anak muda ini berusaha untuk menubuhkan Rumah Ngaji di kawasan itu dan alhamdulillah ALLAH permudahkan kerana ada seorang ustaz muda yang sudi mengajar al-Quran dan fardu ain di situ secara percuma," katanya kepada Sinar Harian.

Rumah Ngaji Negeri Sembilan menyampaikan sumbangan kepada wakil Rumah Ngaji@Surau Rumah Pangsa Lobak.
Rumah Ngaji Negeri Sembilan menyampaikan sumbangan kepada wakil Rumah Ngaji@Surau Rumah Pangsa Lobak.

Katanya, walaupun masyarakat Melayu Islam di kawasan itu kira-kira hanya 200 orang, namun sekurang-kurangnya Rumah Ngaji di situ dapat membantu mereka belajar dan mendalami ilmu agama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Khairil Annuar berkata, dia bersama beberapa rakannya mengemas surau lama yang terbiar di rumah pangsa itu untuk memberi kemudahan kepada penduduk Islam belajar al-Quran.

"Sebagai bekas penduduk di komuniti ini, saya terkesan tengok surau ini tak lagi berfungsi dengan tunggakan bil air dan elektrik mencecah ribuan ringgit.

"Saya dan rakan-rakan berusaha mengumpulkan duit untuk melangsaikan semua bil yang tertunggak, kemudian bersama membersihkan, mengemas dan membuka semula surau ini untuk kegunaan solat jemaah serta tempat mengaji anak-anak di situ," katanya.

Katanya, dia sangat teruja apabila surau itu kembali ceria dan berharap ia akan terus memberi sinar cahaya yang baharu kepada penduduk Islam di kawasan ini.

Penduduk yang memeriahkan majlis perasmian.
Penduduk yang memeriahkan majlis perasmian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!