Perkeso tidak akan kompromi majikan ingkar
BANGI - Sebanyak 22,093 notis dengan nilai kompaun berjumlah RM16.2 juta telah dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Kebangsaan bagi tempoh 2009 sehingga 31 Disember tahun lalu.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, semua kompaun yang dikeluarkan itu melibatkan kesalahan gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja.
Menurutnya, dalam tempoh 10 tahun itu juga, sebanyak 14,650 tindakan pendakwaan telah diambil.
“Ops Kesan yang dilakukan dari pintu ke pintu hari ini (semalam) adalah kemuncak kepada tindakan penguatkuasaan yang berjalan dari masa ke masa,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Ops Kesan Kebangsaan 2020 yang turut disertai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di sini semalam.
Pelancaran operasi bersepadu bagi mengesan majikan dan pekerja belum mendaftar serta mencarum yang memasuki tahun ke-12 itu turut dihadiri Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish.
Dalam operasi semalam, seramai 160 majikan diperiksa di Nilai, Negeri Sembilan dengan sebanyak 38 notis kompaun dikeluarkan setakat jam 12 tengah hari.
Dr Mohammed Azman berkata, setakat jam 12 tengah hari itu juga, seramai 721 majikan di seluruh negara telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 91 kompaun telah dikeluarkan akibat gagal mendaftar perusahaan serta pekerja.
Menurutnya, meskipun operasi sedemikian telah lama dijalankan, namun masih ramai majikan yang tidak mencarum untuk pekerja mereka.
“Antara alasan yang sering diterima ialah mereka tidak tahu bahawa pekerja asing perlu dicarum dan mereka baru memulakan perniagaan.
“Perkeso tidak akan berkompromi dengan majikan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan hak pekerja sentiasa terjaga.
“Apa yang kita lakukan ini bukan bertujuan membebankan mereka tetapi kita mahu majikan sedar bahawa mereka perlu mendaftar dan mencarum,” katanya.
Beliau berkata, operasi yang dijalankan itu memberi fokus kepada majikan yang belum mendaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Jelasnya, mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Sementara itu ditanya sama ada tempoh pemutihan yang telah tamat pada 29 Februari lalu akan dilanjutkan atau sebaliknya, Dr Mohammed Azman berkata, tiada sebab untuk pihaknya berbuat demikian.
“Sepanjang sebulan tempoh pemutihan, seramai 7,032 majikan baharu telah mendaftar dengan Perkeso.
“Jika dibandingkan dengan jumlah majikan baharu yang mendaftar pada Januari lalu iaitu seramai 4,998 orang, terdapat peningkatan signifikan dalam jumlah majikan baharu pada bulan Februari iaitu sebanyak 40.7 peratus,” katanya.
Menurutnya, setakat 28 Februari lalu, seramai 686,702 majikan aktif mendaftar di bawah Akta 4 melibatkan seramai 8.25 juta pekerja termasuk 1.34 juta pekerja asing menikmati perlindungan Perkeso sehingga Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!