Pembangunan fizikal tidak seimbang punca pemanasan global

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menanam pokok Merawan Siput atau 'Hopea Sangal' sempena sambutan Hari Landskap Negara 2020 Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya hari ini. -Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menanam pokok Merawan Siput atau 'Hopea Sangal' sempena sambutan Hari Landskap Negara 2020 Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Pembangunan fizikal yang dilaksanakan secara tidak seimbang hingga ke peringkat tidak lagi dapat memelihara kelestarian alam sekitar telah menyebabkan dunia berhadapan ancaman perubahan iklim dan pemanasan global yang serius.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, keadaan bertambah meruncing dengan berlakunya pelbagai projek pembangunan yang melibatkan kawasan tanah gambut, pembalakan tidak terkawal, pembakaran berskala besar, arang batu, petroleum dan bahan bakar fosil.

"Pokok dan hutan tidak lagi dihargai berdasarkan peranan utama kewujudannya kerana semakin dilihat sebagai bahan komersial menghasilkan kayu dan kawasan hutan dilihat sebagai tanah untuk dijadikan ladang tanaman komersial.

"Justeru itu, kegiatan penebangan hutan terus berleluasa, didorong nafsu haloba manusia, pembalakan dan penerokaan secara haram semakin berlaku.

"Kajian terkandung dalam Nature yang diterbitkan pada 2015 melaporkan bilangan pokok sejak menyingsingnya fajar pertanian 12,000 tahun lalu, hanya tinggal separuh. Data menunjukkan secara purata, sepuluh bilion pokok dimusnahkan setiap tahun," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Negeri Perak dengan tema 'Menangani ancaman perubahan iklim dan pemanasan global' di Laman Budaya Kuala Kangsar di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin bertitah, inisiatif menanam pokok dalam skala yang besar merupakan satu langkah proaktif berupaya menangani ancaman perubahan iklim malah perkhidmatan ekosistem ekologi semula jadi dapat dipulihkan dengan pertambahan bilangan pokok.

Baginda bertitah, berdasarkan bancian 2017, jalinan kerjasama kumpulan Plant-for-the-Planet dengan UN’s Billion Tree Campaign merekodkan pencapaian tanaman 14 bilion pokok di 130 negara dan rekod menunjukkan negara China telah menanam 12.8 bilion pokok, diikuti 2.5 bilion pokok di India sementara Ethiopia berada di tempat ketiga berjaya menanam 1.7 bilion pokok.

"Kesungguhan negara-negara China, India dan Ethopia hendaklah dijadikan teladan.

"Demi menjamin kelestarian alam sekitar, tindakan adaptasi dan tindakan mitigasi perlu dirintis dan dilaksanakan secara serius.

"Setiap minit tertangguhnya usaha menangani isu alam sekitar, meningkatkan ancaman terhadap kehidupan, kesihatan dan masa hadapan alam," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut memuji komitmen Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempromosikan program melestarikan alam sekitar dengan menanam 633 pokok sekitar Majlis Daerah Kuala Kangsar sejak dua bulan lalu.

Baginda bertitah, usaha itu hendaklah disambut di setiap kampung, mukim, daerah dan di seluruh negeri serta digerakkan bersama pejabat kerajaan, syarikat swasta, sekolah, masjid, surau, kawasan perumahan dan kampung, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarela, terutamanya para belia dan pelajar.

"Tidak terlalu lama dahulu menjadi budaya orang Melayu terutamanya di desa, menanam sebatang pokok menandakan kelahiran seorang bayi, sama ada pokok pisang, pinang atau buah, tanpa menyedari bahawa amalan tersebut telah menyeimbangkan sistem ekologi secara semula jadi kerana manusia menyedut oksigen dan melepaskan karbon dioksida, sementara pokok menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!