Anak minat bola sepak, ibu bapa sanggup berhabis
KUANTAN - Melayan minat anak dalam bola sepak, ada ibu pada yang sanggup berbelanja bagi memastikan bakat anak-anak tidak dipersiakan.
Justeru, Ahmad Faizal Mee @ Hussain,43, tidak lokek menghantar dua anaknya, Aqil Rayyan,11 dan adiknya, Aqil Rafael,10, menimba pengalaman di sebuah kelab bola, tiga tahun lalu.
Menurutnya, masa depan dalam sukan itu boleh dijadikan kerjaya anaknya jika terpilih menyertai pasukan bola sepak negeri dan kebangsaan atau menjadi jurulatih suatu hari nanti.
Penjawat awam, Ahmad Faizal mengakui tidak mudah meneruskannya kerana ramai yang mempunyai teknik permainan yang baik.
"Tapi kalau mereka terpilih, itu satu bonus kerana dapat mempamerkan bakat dan kebolehan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua anaknya berminat selepas melihat sekumpulan kanak-kanak berlatih di Padang Kemunting setiap hujung minggu.
“Bila mereka dah minta dan nyatakan minat saya tak tolak. Itu minat mereka daripada membuang masa. Mereka pun bersungguh-sungguh bermain dan beberapa kali menyertai kejohanan bola sepak serta membawa balik piala. Dari situ saya gembira sebab mereka gembira,” katanya.
Katanya, sebulan dia memperuntukkan RM100 bagi membolehkan Aqil Rayyan,11 dan Aqil Rafael belajar pelbagai teknik dalam sukan itu.
“Ikutkan yuran yang dikenakan kelab tidak begitu mahal kerana sekadar RM50 untuk seorang peserta.
Pengorbanan bapa sembilan anak, Azlan Khamdan,42, yang sanggup berhabis wang ringgit demi memastikan tiga anaknya berjaya berbaloi apabila dua daripada mereka mewakili daerah ini bagi kategori usia masing-masing.
Menurutnya kerani bank itu, bakat Muhammad Arif Amsyar,17 dan Muhammad Aman Shah,11, terselah apabila menjalani latihan di sebuah kelab bola sepak di dearah ini sejak beberapa tahun lalu.
“Saya bangga dengan mereka kerana kini sudah menjadi pelatih di dalam Program Pembangunan Bola sepak Negara (NFDP) bagi daerah kuantan. Saya sedikit pun tidak pernah terfikir yang dua beradik ini akan sampai ke tahap ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Namun, tambahnya, ternyata wang RM500 sebulan bagi menjalani latihan secara berkala dengan jurulatih bertauliah sangat berbaloi.
“Jumlah ini memang cukup banyak, tetapi dengan kemahiran dan teknik yang diajar memberi kepuasan kepada saya apabila mereka menang setiap kali perlawanan,” katanya.
Meskipun aktif dalam sukan bola sepak, Azlan mengakui Muhammad Arif dan Muhammad Aman serta abangnya Muhammad Aidil Adha, 20, tidak pernah mengabaikan pelajaran dan mempunyai keputusan yang baik dalam peperiksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!