Presiden Sri Lanka bubar Parlimen
COLOMBO - Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa pada lewat Isnin mengeluarkan gazet khas bagi membubarkan Parlimen dan mengisytiharkan pilihan raya akan diadakan pada 25 April, lapor agensi berita Xinhua.
Dalam gazet khas yang dikeluarkan Sekretariat Presiden ia menyatakan, Rajapaksa membubarkan Parlimen bermula tengah malam Isnin dan mengarahkan parlimen baharu bersidang pada 14 Mei.
Gazet itu turut menyatakan, tempoh pencalonan untuk pilihan raya umum akan bermula 12 hingga 19 Mac.
Parlimen Sri Lanka dibubarkan selepas bersidang selama empat setengah tahun seperti yang disyaratkan perlembagaan bagi merintis jalan untuk pengundian memilih 225 anggota dewan.
Sewaktu tempoh pembubaran, Sri Lanka akan diterajui kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa dan menteri Kabinet, lapor media tempatan memetik pakar politik manakala semua menteri dan timbalan menteri peringkat negeri akan kehilangan jawatan.
Dianggarkan seramai 16 juta rakyat negara itu terbabit dalam pengundian pada April itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!