Polis tahan penagih aktif pecah rumah

Agus Salim (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
Agus Salim (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis menahan seorang penagih dadah berusia 31 tahun yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan bangunan sepanjang Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, suspek ditahan sepasukan polis pada jam 11 pagi di sebuah pasar raya di daerah ini, Jumaat lalu.

Menurutnya, hasil tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan bangunan di sekitar Sabak Bernam.

"Suspek disyaki mula menjalankan kegiatan itu apabila memecah masuk sebuah klinik swasta pada 10 Februari lalu.

"Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, suspek memecah masuk melalui tingkap belakang klinik berkenaan dan melarikan sebuah komputer riba bernilai RM2,500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Agus Salim berkata, suspek yang juga seorang duda melakukan kegiatan sama apabila memecah masuk sebuah rumah di Parit 8, Kampung Sungai Leman pada 24 Februari lalu.

"Kejadian jam 3.50 petang disedari penjaga rumah apabila mendapati pintu belakang diumpil dan nilai kerugian dianggarkan RM2,500," katanya.

Beliau berkata, kejadian terbaru pula berlaku di sebuah masjid di Kampung Sungai Lias Baroh membabitkan kerugian RM200.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek dipercayai melarikan sebuah tabung masjid pada jam 9 pagi, Jumaat lalu.

"Selepas dua jam memecah masuk masjid, suspek yang amat dikehendaki kerana memiliki 11 rekod jenayah lampau termasuk narkotik berjaya dicekup polis," katanya.

Beliau memberitahu, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis MOP.

"Dengan tertangkapnya suspek, polis menemui beberapa barangan curi dan peralatan digunakan dalam kes pecah rumah.

"Sehingga kini, suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!