Norhizam pengkhianat mandat rakyat, kata DAP

Adly (tengah) dan Kok Kiew (duduk, dua dari kiri) pada sidang akhbar di Ibu pejabat Amanah di Bukit Katil di sini hari ini.
Adly (tengah) dan Kok Kiew (duduk, dua dari kiri) pada sidang akhbar di Ibu pejabat Amanah di Bukit Katil di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - DAP Melaka menganggap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang memberikan sokongan kepada blok Barisan Nasional (BN) untuk membentuk gabungan kerajaan baharu di negeri ini sebagai pengkhianat mandat rakyat.

Pengerusinya, Datuk Tey Kok Kiew berkata, pihaknya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin DAP untuk membuat sebarang keputusan terhadap wakil rakyat itu.

Menurutnya, Norhizam dipilih oleh rakyat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun disebabkan perubahan corak kerajaan Pusat beliau kemudian memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

"Ketika keputusan PRU14, kita menang walaupun tahu kedudukan kita agak bahaya pada ketika itu, namun kita bukti pada rakyat dengan menunaikan janji manifesto kita.

"Malangnya wujud tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan jalan pintu belakang bekerjasama dengan puak parti yang kita tentang habis-habisan selama ini," katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Amanah di Bukit Katil di sini hari ini.

Semalam, Norhizam yang dikenali sebagai 'YB Gangster' mengejutkan semua pihak apabila turut menjadi antara 17 wakil rakyat yang memberi sokongan kepada blok BN untuk membentuk gabungan kerajaan baharu di Melaka sekali gus menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

ARTIKEL BERKAITAN: Sokong Perikatan Nasional, Norhizam mengaku jadi barua

Malah kenyataannya yang didakwa menjadi 'barua' turut menjadi kontroversi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari turut menyelar tindakan Norhizam yang mendakwa dirinya menjadi ‘barua’ sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.

Menurut Adly, kenyataan itu hanyalah alasan untuk menghalalkan tindakan beliau keluar daripada PH sekali gus mengkhianati mandat rakyat dan pasti akan dimusuhi.

"Kenyataan Norhizam hanya untuk menutup kelemahan daripada dicaci oleh masyarakat dan kemudian mencari alasan itu.

"Saya fikir tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya untuk menutup segala kelemahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!