Buruh sumbang mahram dengan ipar kekal dipenjara 18 tahun
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 18 tahun dan sebatan 12 kali yang dijatuhkan ke atas seorang buruh kasar selepas didapati bersalah melakukan sumbang mahram terhadap adik iparnya.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Yaacob Md Sam menolak rayuan lelaki itu selepas mendapati tiada kesilapan dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang telah mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Turut bersidang ialah Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Abu Bakar Jais.
Pada 30 November 2017, Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan menjatuhi hukuman tersebut selepas mensabitkan tertuduh dengan kesalahan melakukan perbuatan sumbang mahram dengan adik iparnya yang ketika itu berumur 17 tahun.
Lelaki berusia 32 tahun itu kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu berhubung keputusan Mahkamah Sesyen.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak rayuan lelaki itu pada 2018 dan mengekalkan sabitan serta hukuman yang telah dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadapnya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dalam daerah Tumpat, Kelantan pada 10 November 2015 antara jam 8 malam hingga 2 pagi keesokan harinya.
Peguam, Wan Mohd Ikram Wan Ibrahim dalam hujahnya membangkitkan tiga isu, termasuk mangsa bukanlah saksi yang boleh dipercayai.
Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir pula berkata, keterangan mangsa disokong dengan penemuan DNA tertuduh pada tisu dan kain tuala yang dirampas.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!