Covid-19: Jokowi minta rakyat Indonesia bertenang

Ramai penduduk di Indonesia mula membeli barangan secara pukal selepas Indonesia mengesahkan kes pertama Covid-19. - Foto Agensi
Ramai penduduk di Indonesia mula membeli barangan secara pukal selepas Indonesia mengesahkan kes pertama Covid-19. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi hari ini menggesa rakyatnya bertenang susulan situasi pembelian panik di pasar raya dan kedai ubat selepas negara itu mengumumkan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) yang pertama.

Jokowi berkata, orang ramai tidak perlu membeli keperluan harian secara pukal.

"Inilah yang menyebabkan kekurangan barangan. Pemerintahan akan menjamin ketersediaan komoditi asas dan ubat-ubatan," katanya pada sidang akhbar di Istana Negara.

CNA melaporkan, Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto turut menyokong kenyataan Jokowi dengan mengatakan Presiden telah mengarahkan anggota Kabinetnya untuk mengambil langkah bagi memastikan barang keperluan harian dan ubat mencukupi.

Katanya, pemerintah Indonesia sedang berunding dengan peruncit, perkilangan, syarikat farmaseutikal dan pengedar untuk memastikan barangan dan ubat mencukupi.

Pemerintah juga telah mengarahkan pasar raya dan peruncit untuk memulakan catuan barangan tertentu bagi mengelakkan orang ramai daripada membeli dalam kuantiti yang banyak.

ARTIKEL BERKAITAN: Indonesia sahkan dua kes jangkitan Covid-19

Semalam, rantaian pasar raya Transmart di Jakarta menyaksikan kenaikan 60 hingga 70 peratus dalam jualan mereka.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan jumlah pelanggan menyebabkan barisan panjang dan barangan seperti beras, mi segera, tuala basah dan pembersih tangan habis dijual.

"Hari ini bilangan pembeli masih lebih tinggi daripada biasa tetapi tidak seramai semalam. Walaupun beberapa item habis dijual, kami masih mempunyai bekalan yang mencukupi di gudang. Pelanggan tidak perlu bimbang tentang kekurangan dan mula menyimpan barang," kata Naib Presiden Komunikasi Korporat Transmart, Satria Hamid.

Susulan peningkatan pembelian itu, polis memberi amaran kepada peruncit bahawa mereka boleh berdepan dakwaan jenayah jika menyimpan stok dan menaikkan harga.

"Jika didapati pengedar atau penjual cuba mengambil kesempatan terhadap keadaan ini, kami akan tahan mereka. Kami juga akan menyelaras dengan pengendali pasaran berhubung harga dan bekalan setiap hari," kata Jeneral Daniel Tahi Monang dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Negara. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!