PM baharu dan harapan Melayu
Tahniah kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau ialah satu-satunya Perdana Menteri yang tidak dipilih setelah proses pilihan raya umum. Sebaliknya pelantikan melalui sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat yang kemudiannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Barangkali oleh kerana terlalu banyak berpolitik sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008 lalu, bila tercetusnya krisis politik baru-baru ini, sebahagian besar netizen lebih suka tengok, perhati dan komen sikit-sikit sekadar dua tiga baris.
Pada kali ini orang politiklah yang lebih banyak membawang. Di sepanjang krisis itu kita nampak betapa gopohnya mereka berubah pendirian sehinggakan kita yang mengikutinya mula bingung. Ramai yang buat U-turn, roundabout dan juga merentas masuk ke lorong sebelah!
Jadi, perkara pertama yang Muhyiddin harus jaga adalah mengurangkan politicking. Carilah jalan supaya semua tindakan tidak menjadi buah mulut dan akhirnya membuang masa kita semua untuk mempolemikkannya.
Benar sekali seperti saranan banyak pihak, Perdana Menteri perlu mengelak untuk melantik mereka yang kini dalam kes perbicaraan. Dengan keadaan begitu, tidak molek kalau mereka hendak jawatan.
Seperti yang ramai orang politik dahulu lakukan, apabila mereka ada kes, mereka tidak mahu penyokong mereka berarak dan berdemonstrasi hingga berminggu-minggu untuk mempertahankan imej diri.
Allahyarham Datuk Harun Idris, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Tan Sri Muhammad Taib adalah antara orang politik yang berdepan dengan perbicaraan tanpa membiarkan para penyokong masing-masing bertindak liar.
Team Pakatan Harapan cepat sangat lupa bahawa mereka menang kerana merekalah harapan rakyat. Sebaliknya mereka kelihatan rakus dan penuh aksi hinggakan dalam masa setahun sahaja mereka mula menjadi bahan cemuhan.
Rakyat berasa kecewa kerana para pemimpin yang mereka undi itu bukan membawa harapan, sebaliknya tidak boleh diharap. Itulah persepsi mereka.
Lebih-lebih lagi apabila mereka bermain dengan sentimen perkauman sehingga orang Melayu terpinga-pinga. Para pemimpin Melayu yang mereka lantik pula nampaknya tidak berminat untuk membela Melayu, agama dan rajanya.
Kerana itu orang Melayu berasa mereka sudah hilang tempat bergantung. Banyak NGO Melayu bangkit dan kian lantang menyuarakan kritik mereka. Mereka juga berasa agama dan sultan mereka diperlekehkan.
Apabila Muhyiddin dilantik menjadi Perdana Menteri yang disokong khususnya oleh parti UMNO, Pas dan Bersatu, orang Melayu berasa lega kerana berasakan agama dan kaum mereka nampaknya akan terbela.
Mereka tidak dabik dada dan buat perarakan kemenangan. Itulah Melayu. Orang Melayu sejak dahulu lagi tidak berkira dengan kaum lain. Kumpullah harta sebanyak mana pun, asalkan jangan persoalkan apa yang orang Melayu dapat.
Sebanyak mana pun orang Melayu peroleh, mereka bukannya dapat sebanyak mana pun. Ekonomi Melayu masih belum mencapai 30 peratus. Dari segi penguasaan dalam bidang peruncitan contohnya mereka hanya memperoleh lapan peratus berbanding dengan kaum-kaum lain iaitu 32 peratus. Fakta itu hendaklah diberitahu secara telus dan selalu.
Bagaimanapun, yang penting, orang Cina, India, Kadazan dan Iban perlu berasakan walaupun pihak yang menang ini ramai terdiri daripada kaumMelayu, kedudukan mereka tidak terancam pun.
Tiada cerita dalam sejarah Islam di mana mereka yang bukan Islam akan teraniaya. Itulah antara ciri rahmatan lil alamin yang sebenarnya. Perdana Menteri perlu lafazkan harapan itu kepada mereka pula. Tiada pihak yang menang atau kalah dalam hal ini. Sebab, sebenarnya kita semua kalah di mata dunia!
Perdana Menteri perlu mengelak untuk melantik mereka yang kini dalam kes perbicaraan.”
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!