Kabinet Muhyiddin mesti kelihatan bersih
SELEPAS mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan Ahad lalu, tumpuan kini terarah kepada bagaimana bentuk Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin nanti.
Sudah banyak cakap-cakap agar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mempertimbangkan faktor kelayakan dan bakat yang ada pada bakal menteri dan bukannya dipilih sebagai ganjaran politik kerana menyokongnya.
Paling penting, calon berkenaan mestilah mereka yang bersih daripada kes rasuah dan salah guna kuasa. Malah, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad memberi amaran Muhyiddin akan kalah undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya beliau melantik pemimpin terpalit kes rasuah seperti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke dalam Kabinet.
Dalam kemelut politik yang berakhir minggu lalu, Perikatan Nasional yang dianggotai Bersatu, Barisan Nasional (BN), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan ekoran tumbangnya Pakatan Harapan.
Muhyiddin pasti sedar rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Maka dalam Ucapan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen kelmarin, Muhyiddin berjanji akan melantik anggota Jemaah Menteri daripada kalangan individu yang memiliki ciri-ciri tersebut.
Politik pada asasnya adalah siapa mendapat apa, bila dan bagaimana. Dalam politik, prinsip moral bukan sesuatu yang bersifat praktis.
Niccolo Machiavelli dalam The Prince secara sinis mengatakan dalam urusan politik, tidak ada tempat membicarakan soal moral. Tujuan berpolitik adalah untuk memperkuatkan dan memperluaskan kekuasaan.
Falsafah politik Machiavelli ini telah meresap jauh ke dalam budaya dan mempengaruhi tingkah laku sesetengah ahli-ahli politik di Malaysia. Inilah antara tugas berat Muhyiddin.
Apa pun semuanya terpulang kepada kebijaksanaan Ahli Parlimen Pagoh itu untuk menentukannya. Ia bukanlah tugas mudah lebih-lebih lagi selepas apa yang digelar sebagai episod pengkhianatan kerajaan pintu belakang.
Calon anggota Kabinet Muhyiddin bukan sahaja perlu bersih tetapi mesti kelihatan bersih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!