BCL menangis lagi
Pada dua persembahan pertamanya yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu, BCL gagal mengawal emosinya dan menangis di pentas ketika menyampaikan lagu Cinta Sejati yang banyak menyimpan kenangan buatnya dan suami.
Terbaru, perkara yang sama turut berlaku ketika dia kembali melunaskan tanggungjawabnya sebagai juri program nyanyian Indonesian Idol pada Isnin lalu, selepas digantikan sementara oleh Rossa pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun situasi kali ini berbeza apabila tangisan BCL itu berpunca daripada persembahan Judika yang menyampaikan single terbaharuya, Tak Mungkin Bersama pada program tersebut. Bait-bait lirik lagu tersebut seperti menceritakan apa yang sedang dilalui oleh BCL saat ini.
BCL yang duduk di kerusi juri pada mulanya dilihat berusaha mengawal emosi, namun akhirnya gagal sehingga teresak-esak menahan tangisnya. Penyanyi Ari Lasso yang turut berada di kerusi juri cuba menenangkan BCL yang sudah berendam air mata.
Situasi tersebut mendapat reaksi yang pelbagai daripada netizen selepas petikan video tersebut tular sejak malam tadi dan mengundang simpati ramai.
Rata-ratanya menyalahkan pihak produksi yang dilihat seolah-olah tidak sensitif dengan keadaan BCL yang masih berduka apabila meminta Judika menyampaikan lagu itu. Ramai yang menganggap produksi sengaja mencipta ‘situasi’ tersebut untuk menaikkan rating program dan tidak peka dengan kesedihan orang lain.
Sikap profesional dan kesanggupan BCL untuk kembali bekerja selepas berdepan kehilangan besar dalam hidupnya itu sepatutnya disokong pihak produksi dengan cara positif dan bukan dengan menambah lukanya.
Apa pun, semoga BCL kuat menghadapi saat sukar yang dilalui dan kembali meneruskan kehidupan.
Episod duka BCL bermula selepas kehilangan suaminya, Ashraf Sinclair yang meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung pada 18 Februari lalu. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah Sinclair, 10.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!