Tiada duit ke hospital, isteri dan anak maut bersalin di rumah

Kisah sedih lelaki yang kehilangan isteri dan bayi baharu dilahirkan dikongsi Uncle Kentang di Facebooknya.
Kisah sedih lelaki yang kehilangan isteri dan bayi baharu dilahirkan dikongsi Uncle Kentang di Facebooknya.
A
A
A

PUCHONG - Seorang lelaki kehilangan isteri dan anak yang baharu dilahirkan kerana kesempitan wang untuk menghantar isterinya bersalin di hospital.

Kisah sedih ini terpaksa dilalui seorang lelaki warga Indonesia sebelum dia dibantu oleh aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Chee Heng berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang wanita kira-kira jam 10 pagi semalam yang memohon bantuan untuk menguruskan jenazah seorang ibu dan bayinya di Putra Perdana.

Menurutnya, beliau bergegas ke lokasi dan mendapati wanita itu sudah meninggal dunia dipercayai akibat mengalami komplikasi ketika melahirkan seorang bayi lelaki.

“Hati saya bagaikan dirobek melihat jenazah ibu dan bayi yang kaku hanya kerana suaminya tiada duit untuk menghantarnya bersalin di hospital.

“Saya tanya kepada suami wanita berkenaan, mengapa tidak membawa isterinya ke hospital untuk melahirkan anak mereka.

“Lelaki itu yang bekerja sebagai jurukimpal dengan gaji tidak seberapa beritahu dia tiada duit. Saya tidak dapat menahan air mata dan terus memeluknya,” katanya kepada Sinar Harian.

Chee Heng berkata, jenazah dua beranak itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Katanya, jenazah dua beranak itu akan diuruskan komuniti di Putra Perdana dan dikebumikan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya nak pesan kepada mereka yang bukan warganegara...jangan takut pergi hospital kalau mengandung dan nak bersalin...jangan bimbang sangat..kami manusia bukan haiwan, kami ada hati, doktor pun ada hati, Malaysia pun ada hati.

“Jangan khuatir pasal duit atau pasal polis kerana kamu ‘kosong’ dokumen, tak mengapa, nyawa penting dulu,” katanya.

Sementara itu, suami wanita berkenaan yang dikenali sebagai Sumaji, 38, berkata, dia terpaksa membiarkan isterinya melahirkan anak kedua mereka di rumah kerana langsung tidak mempunyai wang untuk ke hospital.

Katanya, isterinya, Nor wahyuni, 35, mengalami komplikasi ketika melahirkan anak mereka yang dilahirkan secara songsang.

“Ketika proses kelahiran, kepala anak saya tersangkut dan dia didapati sudah tidak bernyawa sebaik dilahirkan. Isteri saya pula alami pendarahan teruk, uri yang pada mulanya tidak keluar pecah selepas itu.

“Saya tak ada duit bawa isteri ke hospital selain tak punya apa-apa dokumen. Terima kasih kepada Uncle Kentang yang bantu, saya rasa terharu kerana masih ada rakyat Malaysia yang sudi tolong,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!