Tiada kes Covid-19 di Pahang
KUANTAN - Jabatan Kesihatan Pahang menafikan terdapat kes koronavirus (Covid-19) di Gebeng seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Awang Ngah berkata, setakat ini pihaknya masih belum merekodkan kes Covid-19 di mana-mana daerah di Pahang.
"Saya sahkan tiada kes ini (Covid-19) di Pahang. Tapi hanya kes di bawah kategori pesakit dalam siasatan (PUI) sahaja berlaku di Rompin.
"Tapi ia sebagai langkah kawalan kerana pesakit terbabit mempunyai sejarah bercuti di negara terlibat Covid-19," katanya dihubungi Sinar Harian hari ini.
Dr Bahari bagaimanapun menasihatkan masyarakat untuk tidak mempercayai atau menyebarkan pesanan dalam WhatsApp itu.
"Jangan percaya dan sebarkan benda yang tidak sahih ini," katanya.