Covid-19: Bank Dunia umum pakej bantuan kewangan
KUALA LUMPU- Kumpulan Bank Dunia akan menawarkan pakej bantuan kewangan segera bernilai sehingga AS$12 bilion untuk membantu negara-negara terjejas menangani impak kesihatan serta ekonomi akibat koronavirus (Covid-19).
Dalam kenyataan hari ini, ia berkata, pakej dalam bentuk pembiayaan itu antara lainnya bertujuan membantu negara-negara anggotanya mengambil tindakan efektif selain mengurangkan impak tragik akibat penularan virus itu di peringkat global.
“Menerusi pakej itu, Kumpulan Bank Dunia akan membantu negara-negara sedang membangun meningkatkan sistem kesihatan termasuk akses lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan bagi melindungi orang ramai daripada epidemik itu. Ia juga bagi memperkukuh aspek pemantauan penyakit, mempertingkat intervensi kesihatan umum dan bekerjasama dengan sektor swasta bagi mengurangkan impak dari segi ekonomi.
“Pakej itu beserta kewangan yang diperoleh daripada pihak seperti Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA), Bank Antarabangsa bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan (IBRD) dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC), akan diselaras secara global untuk membantu respon mengikut (keperluan) negara terbabit," katanya.
Menurut Kumpulan Bank Dunia, pakej Covid-19 itu akan menyalurkan sumber awal krisis sehingga AS$12 bilion dalam bentuk pembiayaan yang mana AS$8 bilion adalah berasaskan konsep 'fast track.'
Ini merangkumi pembiayaan baharu sehingga AS$2.7 bilion daripada pihak IBRD; AS$1.3 billion (IDA) yang dilengkapi dengan pengutamaan semula AS$2 bilion bagi portfolio sedia ada Bank Dunia dan AS$6 bilion daripada IFC, termasuk AS$2 bilion daripada kemudahan perdagangan yang wujud pada masa ini.
Ia juga termasuk nasihat dasar dan bantuan teknikal bagi merangka pengetahuan dan kepakaran di peringkat global mahu pun negara terbabit.
Presiden Kumpulan Bank Dunia, David Malpass berkata bank tersebut berusaha untuk menyalurkan respon yang pantas dan fleksibel berdasarkan keperluan negara-negara sedang membangun menangani Covid-19.
“Ini termasuk pembiayaan segera, nasihat dasar dan bantuan teknikal dengan memanfaatkan instrumen bank sedia ada dan kepakaran untuk membantu negara terbabit," katanya.
Menurutnya, pakej kewangan itu akan turut meliputi geran dan pinjaman berkadar faedah rendah daripada IDA untuk negara-negara berpendapatan rendah manakala pinjaman daripada IBRD bagi negara berpendapatan sederhana dengan menggunakan instrumen pengoperasian bank itu yang diproses pada asas pantas atau 'fast track.'
“Sokongan pihak Bank Dunia itu merangkumi pelbagai intervensi bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan dan penjagaan kesihatan utama, menggalakkan penglibatan komuniti bagi mengekalkan keyakinan awam dan menambah baik akses untuk merawat pesakit termiskin.
“Bank ini akan turut menyalurkan nasihat dasar dan teknikal bagi memastikan negara-negara terbabit mendapat akses kepakaran global," katanya.
Pihak IFC akan bekerjasama dengan pelanggan bank komersial untuk memperluas aspek pembiayaan dan modal kerja selain memberi sokongan langsung kepada pelanggan korporatnya dengan tumpuan terhadap sektor-sektor strategik termasuk kelengkapan perubatan dan farmaseutikal bagi mengekalkan rantaian bekalan dan mengehadkan risiko penurunan ekonomi.
Menurutnya, penyelesaian itu akan memanfaatkan pengalaman daripada kejadian serupa sebelum ini yang bertujuan mengehadkan impak ekonomi dan sosial akibat Covid-19 secara global.
“Negara-negara berdepan risiko dan kelemahan yang berbeza tahap terhadap Covid-19 dan memerlukan bantuan yang tidak sama.
“Kumpulan Bank Dunia akan mengutamakan negara termiskin dan yang berisiko tinggi dengan kapasiti yang terhad. Oleh kerana penularan Covid-19 dan impaknya akan terus berkembang, Kumpulan Bank Dunia akan menggunakan pendekatan serta sumber yang diperlukan," katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!