New Zealand berkas remaja lelaki ancam serang masjid

Suspek dikatakan membuat ancaman serius ketika berada di luar Masjid al-Noor terbabit. - FOTO: AGENSI
Suspek dikatakan membuat ancaman serius ketika berada di luar Masjid al-Noor terbabit. - FOTO: AGENSI
A
A
A

WELLINGTON - Polis New Zealand menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun kerana didakwa membuat ancaman serius terhadap salah sebuah masjid di Christchurch yang menjadi sasaran serangan ganas pengganas kulit putih, Brenton Tarrant pada Mac tahun lalu.

Ancaman tersebut dibuat menerusi aplikasi mesej disulitkan itu menunjukkan individu memakai balaclava berkenaan berada di dalam sebuah kereta di luar Masjid al-Noor yang turut disertakan teks berbaur ugutan dan emoji pistol.

“Imej seperti itu tiada tempat di negara ini dan tidak boleh diterima,” kata jurucakap polis Canterbury, John Pricey yang memaklumkan pihak berkuasa masih mengumpulkan bukti tentang ancaman ke atas masjid tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti lelaki tersebut dan mengesahkan turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah kenderaan.

Pricey memuji tindakan orang awam yang melaporkan tentang imej tersebut dan memberi amaran terhadap mana-mana pihak agar tidak berkongsi gambar tersebut di internet kerana ia perbuatan jenayah yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.

Insiden itu berlaku menjelang ulang tahun pertama memperingati serangan yang telah meragut 51 nyawa jemaah di Masjid al-Noor dan Pusat Islam Linwood pada 15 Mac 2019. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!