Mukhriz nafi kerajaan Kedah goyah
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan kedudukan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpinnya kini goyah susulan suasana politik yang tidak menentu.
Menurut beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu, kedudukan 19 kerusi dimiliki pakatan itu menjadikan kerajaan negeri stabil kerana memiliki lebihan majoriti diperlukan untuk memerintah.
Mukhriz berkata, tiada keperluan untuk beliau meminta kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dan Bersatu melakukan sokongan akuan bersumpah (SD) menyokong kepimpinannya.
“Saya nafi kedudukan kerajaan negeri getir, 18 kerusi milik kita sejak menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bukan angka baharu dan jumlah kerusi tidak berubah. Selepas itu Bersatu terima tambahan satu kerusi daripada UMNO menjadikan 19, masih majoriti berbanding pihak pembangkang (17),” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama selepas pembentukan kerajaan baharu di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz berkata, SD juga tidak menjamin sokongan susulan ia boleh berubah seperti yang berlaku di peringkat Pusat.
“Kita tak perlu paksa mana-mana pihak menandatangani SD, ia sebenarnya tak laku. Jika kita lihat di peringkat nasional, saya tahu ada yang menandatangani SD sebelah sini, kemudian lompat ke sebelah sana dan umum SD sebelum itu tak relevan, lepas itu dia patah balik, dua kali lompat. Jadi SD tak lagi beri kesan,” katanya.
Menurutnya, semua ADUH PH dan Bersatu sepakat mentadbir negeri untuk kepentingan rakyat.
“Tapi di pihak sana dengar ceritanya, ADUN dipaksa untuk dapatkan SD. Tak tahulah ada yang tandatangani atau tidak, kalau ada yang sudah tandatangani kami masih boleh terima jika mereka mahu patah balik,” katanya.
Pada sidang akhbar sama, Mukhriz turut mengumumkan pakej rangsangan untuk merancakkan sektor pelancongan susulan wabak koronavirus (Covid-19.
“Kita membuat keputusan pengecualian fi hotel di Langkawi selama enam bulan berkuatkuasa serta merta berikutan masalah penurunan jumlah pelancong. Kedah juga akan mohon dana rangsangan Covid- 19 dari kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, kes Covid-19 di Kedah terkawal dan tiada kes baharu direkodkan.
“Jika perlu kita akan peruntukkan dana untuk iklan bagi menarik pelancong antarabangsa susulan kemerosotan pengunjung akibat Covid-10. Pelancongan Langkawi sedikit terjejas kerana sebelum ini ada pesawat dari China dikurangkan ke Langkawi,” katanya.
Mukhriz berkata, jumlah pelaburan di Kedah menunjukkan prestasi terbaik dan melepasi sasaran ditetapkan.
“Kita akan umumkan angka pelaburan itu tidak lama lagi. Itu menunjukkan keyakinan pelabur tempatan mahupun asing terhadap dasar serta pendekatan kita dalam menarik pelabur ke negeri ini," katanya.
Menurutnya, pelaburan yang memberangsangkan itu kelak membolehkan Kedah bakal diumumkan sebagai antara negeri 'top 5' dalam negara yang menerima pelaburan terbesar.
“Dulu kita agak tercorot dari segi pelaburan, kini kita berjaya bersaing dengan negeri-negeri yang jauh lebih maju, walaupun kita bukanlah negeri yang dikenali sebagai destinasi pelaburan," katanya.
Sebelum ini, Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh kajian Januari hingga September 2019 menunjukkan Kedah menerima pelaburan bernilai RM7.804 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!