Covid-19: Lebih 150 warga KD Lekiu dari Korea akan diuji

No Image Caption
A
A
A

LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengambil sampel bagi pengesanan koronavirus (Covid-19) ke atas lebih 150 pegawai dan anggota Kapal Diraja (KD) Lekiu yang dijangka berlabuh di Tambatan Pangkalan Kota Kinabalu (TPKK), Sabah, esok selepas tiba dari Busan, Korea.

Menurut Markas Pemerintahan Armada Barat, Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu dengan bantuan Kementerian Kesihatan di Sabah akan membuka empat kaunter pemeriksaan bagi tujuan itu.

Kesemua sampel akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu dengan keputusan dijangka diketahui dalam masa empat hingga 12 jam.

“Dalam tempoh itu, semua warga KD Lekiu akan dikuarantin di dalam kapal dan sekiranya terdapat warga yang positif Covid-19, mereka akan dihantar untuk dikuarantin serta menjalani rawatan lanjut di wad HQE.

“Bagi kru yang negatif, mereka akan terus belayar pulang ke Pangkalan TLDM Lumut sebaik selesai pengisian minyak dan ulang bekal (pengisian bekalan). Sebagai langkah berjaga-jaga, saringan kedua turut dilaksanakan apabila kapal tiba di Tambatan Pangkalan Lumut,” menurut kenyataan Markas Pemerintahan Armada Barat di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, KD Lekiu berlepas dari TPKK pada 5 Februari lepas untuk mengiringi Petronas Floating Liquified Natural Gas 2 (PFLNG 2) dan berlabuh di Jeti Samsung Heavy Industries (SHI), Geoje-Do, Busan, Korea Selatan pada 12 Februari sebelum kembali belayar ke tanah air pada 18 Februari.

Tambah kenyataan itu, TLDM akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan keselamatan warga kapal dan mengelak penularan wabak Covid-19.

“Keluarga warga KD Lekiu dinasihatkan agar bersabar dan mengambil maklum semua prosedur yang perlu diikuti demi memastikan kesejahteraan bersama," menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!