Jangan lupakan 99 peratus
SAYA tertanya-tanya siapakah yang telah menganjurkan pesta terbesar pada malam Sabtu? Mereka semestinya berpakaian rapi dengan berlian merah jambu dan beg tangan Hermès untuk pesta itu.
Malangnya, hujung minggu saya sendiri merupakan satu kejutan selepas Liverpool mengalami kekalahan yang sangat memalukan kepada pasukan bawahan, Watford dan semalam di tangan Chelsea.
Kita seolah-olah menjadikan kejadian angsa hitam kejadian yang tidak dijangka sebagai satu tabiat dalam kancah politik kita. Kejadian sekali seumur hidup itu kini sudah cukup lazim untuk dijadikan sebagai buku tahunan.
Oleh itu, jangan terlalu terkejut untuk melihat perubahan-perubahan bersejarah yang lebih lanjut ketika ahli-ahli politik kita terus memainkan melodrama mereka.
Namun, bertentangan dengan latar belakang kekecohan itu, ia penting untuk mengingatkan diri kita bahawa tujuan utama kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan sekadar untuk segelintir yang terpilih sahaja.
Ini dimuatkan dalam manifesto pihak yang diundi rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan tidak dinafikan bahawa ia akan menjadi asas untuk pilihan raya akan datang dan yang seterusnya, serta yang seterusnya lagi.
Adakah Pakatan Harapan telah menunaikan lambakan janji mereka kepada rakyat? Tidak semua.
Saya mengakui ia tidak cukup dan tidak sepenuhnya kerana sesetengahnya memerlukan lebih banyak masa.
Seperti yang saya selalu katakan, ia amatlah berbahaya bagi kita mengabaikan mandat jelas rakyat untuk menumpukan perhatian kepada permainan politik peribadi dan perjanjian-perjanjian tidak rasmi yang hanya menguntungkan pihak tertentu (horse-trading) yang akhirnya menjadi punca kejatuhan Harapan.
Itulah yang menyakitkan hati para pengundi tentang Barisan Nasional (BN), kemudian para pengundi mengecewakan BN dengan memilih Harapan dan ia pasti juga akan menjadi bahan bakar yang akan memanaskan suhu ketidakpuasan dalam Perikatan Nasional.
Namun, spekulasi yang timbul berlegar-legar di sekitar individu-individu yang akan mendapat manfaat dengan langsung tidak mempedulikan keperluan rakyat.
Tidak kira siapa pun PM kita, parti mana mahupun gabungan yang mana, jika rakyat dianiaya, maka mereka akan bersuara dengan lantang pada hari pilihan raya.
Pentadbiran
Kita telah menunjukkan bukan sahaja kepada diri kita tetapi seluruh dunia bahawa demokrasi di Malaysia berfungsi.
Ketika kerunsingan mengenai perebutan kuasa, itu adalah pelajaran yang tidak boleh dilupakan oleh Perikatan Nasional – sama ada mereka bertahan untuk beberapa minggu, bulan ataupun tahun.
Politik boleh mengatasi prinsip, atau sebaliknya, bergantung pada perubahan suasana perasaan hati ketika itu.
Namun, pentadbiran yang tidak berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat tidak akan berdaya tahan. Dasar-dasar keadilan sosial dan kesaksamaan tanpa mengira kaum atau agama perlu ditegakkan.
Begitu juga peluang ekonomi yang memanfaatkan pekerja kolar biru dan kolar putih diwujudkan serta melengkapkan mereka untuk berjaya menghadapi era transformasi digital 4IR (Revolusi Perindustrian Keempat) yang menyeru kita.
Juga peraturan perundangan serta penguatkuasaan keadilan dilaksanakan tanpa mengira kedudukan atau jawatan.
Saya akan memberi sokongan penuh kepada objektif-objektif yang mulia itu tanpa mengira siapa pun yang menduduki kerusi pemerintahan.
Ya, saya percaya bahawa objektif-objektif itu telah diperjelaskan dengan baik dalam manifesto PH di mana saya telah membantu untuk mendrafkannya dan akan melobi bukan sahaja untuk kesinambungannya tetapi untuk pelaksanaannya dalam setiap kerajaan.
Sekiranya tumpuan tampuk kepimpinan bergerak ke arah urusan mandiri secara terbuka seperti yang telah kita lihat dalam pentadbiran yang lalu, maka ia akan menjadi langkah cermat bagi mereka untuk mengingati kesannya sebelum sekali lagi mengeluarkan beg-beg tangan yang berjenama dan membersihkan barang kemas mewah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!