Rezeki tukang kasut di bawah pokok
TAMPARULI - Setiap hari Masdi Gadius perlu berjalan kaki sejauh enam kilometer dari kediamannya di Kampung Nawoi untuk ke Pekan Kiulu bagi mencari rezeki sebagai tukang kasut.
Masdi, 34, yang masih bujang akan tiba di pekan itu seawal jam 6 pagi sebelum memulakan perniagaan kecil-kecilannya membaiki kasut di bawah pokok berhampiran deretan kedai sejak 2015.
Sungguhpun tidak memiliki premis berbumbung yang lebih selesa, anak muda etnik Dusun itu mampu meraih pendapatan kira-kira RM1,000 hingga RM2,000 sebulan hasil perkhidmatan membaiki kasut.
“Setakat ini saya mampu menyiapkan kerja membaiki kira-kira 30 pasang kasut sehari dengan mengenakan bayaran serendah RM7 hingga RM55,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau yang belajar sendiri kaedah membaiki kasut rosak tidak berasa malu melakukan pekerjaan tersebut, sebaliknya bangga kerana dapat bersaing dalam bidang yang ramai diceburi rakyat asing itu.
Anak kedua daripada empat adik-beradik itu pernah bekerja sebagai pembantu restoran, di kilang dan stesen minyak di Kuala Lumpur dengan gaji RM1,000 sebulan, namun terpaksa berhenti kerana pendapatan tidak cukup bagi menampung hidup.
“Saya terpaksa kembali ke kampung halaman untuk bantu keluarga kerana ketika itu ayah hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah, manakala ibu pula seorang suri rumah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!