Penyakit gila harta musnahkan agama

A
A
A

DARIPADA Ka’ab bin Malik RA ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, dua serigala yang lapar yang dilepas di tengah kumpulan kambing, tidak lebih merosakkan jika dibandingkan dengan sifat tamak manusia terhadap harta dan kuasa yang sangat merosakkan agamanya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW membuat perbandingan antara orang yang tamak dan rakus terhadap harta dan kekuasaan lebih membawa kerosakan berbanding kerosakan yang berlaku apabila dua ekor serigala yang kelaparan dilepaskan dalam sekawan kambing. Rasulullah SAW menyatakan dengan jelas sekali bahawa mereka yang tamak dan rakus terhadap harta dan kuasa akan merosakkan agamanya.

Memang sangat benar sekali apa yang disabdakan Rasulullah SAW. Mereka yang cintakan harta, akan habiskan masa hidupnya dengan mencari dan mengumpul harta sehingga tiada masa untuk urusan agamanya. Rasulullah SAW seterusnya memberi peringatan bahawa manusia memang tidak pernah puas. Digambarkan dalam sebuah hadis bahawa manusia ini jika diberikan kepadanya satu lembah yang penuh dengan emas, dia pasti akan ingin memiliki lembah kedua, ketiga dan seterusnya. Hanya tanah sahaja (iaitu kematian) yang dapat menamatkan ketamakan dan kerakusan tersebut.

Manusia yang tamak dan rakus terhadap harta akan sanggup mengambil hak orang lain secara salah.

Kecintaan pada harta itu dirangkaikan oleh Rasulullah SAW dengan cintakan kuasa. Kenapa Rasulullah SAW menyebut dua perkara tersebut seiringan? Ini kerana dengan harta dan kekuasaan, segalanya boleh dilakukan. Penipuan, penindasan, pembunuhan dan segala bentuk kejahatan boleh dilakukan apabila ada harta dan kuasa.

Orang yang tidak tamakkan harta dan kuasa tidak akan menonjolkan dirinya untuk dilantik. Dia tidak akan meminta-minta untuk dilantik memegang jawatan tertentu. Rasulullah SAW telah mengajar kita tentang hal itu. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, dikhabarkan bahawa dua sahabat berjumpa Rasulullah SAW dan meminta Baginda melantiknya sebagai ketua. Jawapan tegas Rasulullah SAW terhadap permintaan tersebut adalah: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.”

Rasulullah SAW menjelaskan lagi dalam sebuah hadis lain ketika memberi pesanan dan nasihat kepada Abdul Rahman Samurah agar tidak meminta untuk menjadi pemimpin kerana perbuatan tersebut akan mengakibatkan manusia meninggalkannya dan tidak membantunya malah dia juga tidak akan mendapat pertolongan ALLAH SWT.

Amanah kepimpinan adalah satu amanah yang sangat besar dan berat. Pemimpin yang tidak menunaikan amanah dengan baik, bukan sahaja membawa kerosakan kepada dirinya dan agamanya sahaja, malah kerosakan itu akan merangkumi keseluruhan masyarakat dan muka bumi yang dikuasainya.

Artikel Berkaitan:

Kita sudah melihat dengan mata kepala kita sendiri bagaimana pemimpin yang tidak amanah telah banyak melakukan kerosakan di muka bumi ini. Pemimpin begini hanya mementingkan dirinya dan suku sakatnya sahaja.

Pemimpin yang amanah akan membawa kesejahteraan dan rahmat kepada rakyat. Ini kerana dia tahu bahawa rakyat telah memberikan kepadanya amanah untuk menjaga kepentingan mereka dan bukannya rakyat mengangkat mereka menjadi pemimpin untuk mereka melakukan onar terhadap rakyat.

Sejarah telah membuktikan bagaimana pemimpin yang amanah akan memberikan kesejahteraan kepada dunia. Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik dalam hal ini. Antara pemimpin yang terbaik juga adalah Khalifah Umar Abdul Aziz. Antara perkara yang dikuatkuasakan pada zaman pemerintahannya adalah larangan menerima hadiah oleh gabenor kerana itu dianggap sebagai rasuah. Beginilah sikap pemimpin agung.

Akhir kalam, jadilah pemimpin yang dipilih dan bukannya kerana kita yang meminta-minta. Wallahu a’lam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!